Khazanah
Khazanah Nasional Bhd terus mencatatkan pertumbuhan serta melindungi asetnya bagi pihak negara, dengan nilai aset bersih (NAV) meningkat kepada RM86 bilion pada 2021 daripada RM79 bilion tahun lepas.

JAKARTA – Syarikat pembinaan milik kerajaan Indonesia, PT Waskita Karya sedang berunding dengan sekumpulan pelabur termasuk Islamic Development Bank dan Saudi Arabian Oil Co. untuk menjual pegangan dalam sebuah anak syarikat yang terlibat dalam pembinaan dan pengendalian jalan raya bertol.

Khazanah Nasional Bhd. juga dilaporkan terlibat dalam konsortium tersebut.

Pengarah Presiden, Muhammad Choliq berkata, pihaknya mensasarkan untuk memuktamadkan urus niaga awal tahun depan

PT Waskita Toll Road memiliki 18 jalan raya bertol terutamanya di Jawa manakala dana pencen negara, PT Taspen dan syarikat pembiayaan PT Sarana Multi Infrastruktur adalah pemegang saham.

Waskita mencari dana dengan menjual jalan raya bertol untuk membiayai projek-projek akan datang terutama apabila Presiden Indonesia, Joko Widodo mahu meneruskan agenda agresif dalam prasarana seperti menambah baik jalan raya, rel dan hubungan pelabuhan di republik tersebut.

“Kami masih berunding dari segi harga dan berharap boleh memuktamadkan perjanjian awal tahun depan.

“Aramco mahu mempelbagaikan perniagaannya berikutan kemerosotan harga minyak dan berminat untuk melabur dalam projek-projek infrastruktur di Indonesia,” kata Choliq.

Aramco bagaimanapun tidak menjawab soalan yang telah diemelkan kepada mereka manakala Khazanah pula enggan memberi sebarang komen.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi IDB bagi Sektor Swasta, Nabil El Alamai tidak menjawab panggilan telefon dan emel.- MalaysiaGazette