Reaksi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap sebaik keluar dari kamar mahkamah sebaik dilepaskan tanpa bebas daripada pertuduhan mencederakan muridnya berikutan Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes terbabit ditarik balik di Mahkamah Majistret Seremban. foto SAFWAN MANSOR, 19 DISEMBER 2017

DULU, kalau saya kena rotan oleh cikgu, balik rumah mengadu, saya kena rotan lagi oleh ayah atau emak.

Selepas kena rotan oleh cikgu dan ditambah oleh ayah atau emak, saya segera insaf dan tak akan buat nakal di sekolah lagi. Saya tak akan ulangi lagi sebarang bentuk kesalahan.

Ayah dan emak, apabila daftar saya ke sekolah, mereka sudah memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru untuk mendidik saya.

Antara ayat yang saya masih ingat ketika mula-mula menjejak kaki ke kelas, ayah berkata kepada guru, “Cikgu, kalau anak saya ini nakal di sekolah, cikgu pukullah… cikgu rotanlah…”

Maknanya, apa saja bentuk hukuman guru ke atas saya, jika saya lakukan kesalahan mendapat restu ayah dan emak. Jika saya mengadu, saya pula kena denda tambahan di rumah.

Saya faham apa yang ayah dan emak saya buat itu adalah untuk masa depan saya. Mereka tidak mahu saya menjadi anak manja bila besar nanti. Mereka tahu, bila saya diperaja (dimanja) saya tak akan jadi manusia berjaya walaupun sudah dewasa.

Ayah dan emak saya jenis manusia yang mahu anaknya pandai berdikari, kerana mereka tahu mereka tidak akan selama-lamanya menongkat langit untuk menjaga saya.

Sampai satu masa, mereka akan pergi menemui Ilahi dan meninggalkan kami adik beradik meneruskan kehidupan. Bila kami sudah ada ilmu yang dididik oleh guru, oleh ayah dan oleh emak, kami boleh ‘survive’.

Tapi ibu bapa sekarang jauh bezanya. Mereka tidak seperti ayah dan emak saya yang melahirkan saya di era 60-an dulu.

Mak ayah sekarang terlalu memanjakan anak-anak mereka. Anak-anak diberi kemewahan dan kebebasan tanpa kawalan. Sebab itu ada segelintirnya tidak inovatif.

Di sekolah, kalau anak-anak dijentik saja, mak bapak terus campur tangan. Mengamuk, bising-bising dalam media sosial. Tak cukup kutuk guru dalam Instagram dan facebook, mereka buat laporan polis pula. Hadap guru ke mahkamah.

Sepanjang hayat saya, saya tak pernah jumpa mak bapak atau ahli keluarga lahanat seperti ini. Mereka suka anak mereka bermasalah. Mereka barang kali bangga kalau anak mereka menagih dadah, makan pil kuda, hidu gam, membuli, kaki ponteng dan gangster di sekolah.

Mak bapak jenis ini adalah mak bapak yang suka anak mereka bila besar nanti jadi penjenayah. Barang kali mereka bangga anak mereka kerjanya membunuh, merompak, mencuri, merogol. Mereka suka anak mereka keluar masuk penjara.

Saya ada anak yang sedang membesar. Semua mereka masih bersekolah. Saya juga ikut jejak langkah ayah dan emak saya. Saya beri kebenaran kepada guru untuk denda sekiranya anak saya melakukan kesalahan di sekolah.

Lainlah kalau anak saya tidak buat salah, tetiba kena jentik. Saya akan jumpa guru dan selesaikan cara baik. Saya tak akan buat laporan polis untuk beri pengajaran kepada guru itu. Bukan itu cara saya, termasuk majoriti ibu bapa di luar sana.

Kalau saya dakwa guru ke mahkamah. Kelak yang terpalit malu saya juga sebagai orang tua kepada anak yang ada masalah disiplin.

Saya akan rasa malu kalau dalam perbicaraan, guru beritahu mahkamah yang anak saya menghisap dadah, menghidu gam, membuli pelajar lain, ponteng kelas dan menghasut pelajar lain menjadi gangster.

Bagaimana perasaan saya, kalau tiba-tiba peguam bela kepada guru itu mendedahkan satu persatu kenakalan anak saya di depan media? Masuk surat khabar dan viral di media sosiallah jawabnya.

Di mana kita nak sorok muka? Lainlah kalau kita jenis mak bapak yang tak ada perasaan malu. Mak bapak jenis muka tembok dan spesies yang bangga anak jadi penjenayah serta terlibat dalam jenayah.

Bayangkan, anak baru berusia 11 tahun sudah terlibat dalam gejala sosial seperti hidu gam, ponteng kelas, kaki buli dan menghasut rakan-rakan sebaya supaya mengikut jejaknya.

Anak yang begini teruk masalahnya masih dibela habis-habisan oleh ahli keluarga. Pening saya memikirnya.

Terus terang, saya secara peribadi tidak pernah jumpa spesies mak bapak semacam ini. Barang kali seronok tengok guru yang tampar anaknya naik ke mahkamah dan dikenakan hukuman penjara atau denda.

Dalam kes Cikgu Azizan Manap, saya mengikut rapat kisahnya. Dia adalah guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Seremban, Negeri Sembilan.

Pada Oktober lalu, beliau terima aduan ada seorang murid Tahun Lima dikatakan telah melanggar disiplin sekolah. Antara kesalahan budak itu ialah menghidu gam, bergaduh, membuli murid lain dan ponteng kelas.

Lalu Cikgu Azizan menampar budak itu atas kesalahannya. Saya anggap hukuman tampar sebagai wajar dan sesuai untuk murid “Anakku Sazali” itu.

Bagaimanapun, kes itu tidak berakhir di situ saja. Mak bapak budak itu buat laporan polis dan dakwanya di mahkamah.

Akhirnya Cikgu Azizan disiasat dan dibuat pertuduhan di Mahkamah Majistret Seremban. Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Jenayah kerana secara sukarela menyebabkan kecederaan.

Bagi seksyen ini, jika sabit kesalahan, Cikgu Azizan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesian Cikgu Azizan. Niatnya untuk menghukum murid terbabit telah disalah tafsir oleh ahli keluarga. Kisah dia tampar budak sekolah itu menjadi viral. Namanya diburuk-burukkan tanpa dia berpeluang membela diri dan menceritakan apa sebenarnya berlaku.

Bagaimanapun, Allah Maha Besar. Allah Maha Kuasa. Atas doa ratusan guru, ibu bapa dan orang ramai, Cikgu Azizan mendapat keadilan. Mahkamah Majistret Seremban pagi ini telah membuat keputusan membebaskan Cikgu Azizan atas dakwaan itu.

Maka berakhirlah episod “Anakku Sazali”.

Moral daripada kisah ini, tak usahlah kita ibu bapa perbesarkan kes kalau anak kita dikenakan denda oleh guru atau pihak sekolah.

Guru tidak akan memukul, menampar atau menjentik anak kita kalau anak kita tidak ada masalah disiplin yang berat.

Seeloknya, kalau kita ibu bapa yang prihatin dengan anak kita dan mahu anak kita berjaya, kita seharusnya berhubung baik dengan pihak sekolah, terutama guru kelas.

Selalu hubungi cikgu tanya perkembangan pembelajaran dan perangai anak kita semasa di sekolah. Kalau guru kata anak kita agak nakal dan degil, kita patut beri kerjasama kepada guru untuk memperbetulkan langkah anak kita itu.

Ini baru ibu bapa yang baik. Guru pun segan nak pukul anak kita lebih-lebih kalau sudah ada hubungan yang mesra dengan keluarga.

Pada sayalah, dalam kes ini, kalau anak kita pelajar cemerlang di sekolah dan rekod disiplin pun baik, tetiba dijentik oleh guru tanpa sebab hingga cedera, kira munasabahlah kalau kita melenting.

Tapi, anak makcik dan pakcik ini mengalahkan Anakku Sazali. Nakalnya agak teruk. Baru sekolah Tahun Lima. Baru umur 11 tahun sudah hidu gam, pembuli dan kaki ponteng kelas. Memang patut kena sepak, bukan jentik-jentik lagi dah.

Malangnya, mak bapak pula tidak cerdik. Pergi marah pada cikgu kerana jentik anak mereka. Buat laporan polis dan bawa ke mahkamah. Apa kejadah ni?

Apa sudah jadi dengan mak bapak ini? Dan kejadian ini saya anggap satu dalam 100 juta ibu bapa. Harap tidak ada lagi spesies seperti ini.

Kepada Cikgu Azizan, banyak-banyak bersabar. Cikgu telah menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai guru dengan baik.

Cikgu tidak perlu berasa malu kerana kes itu sudah viral. Mak bapak yang dakwa cikgu itu patut berasa malu kerana seluruh negara dan dunia tahu anaknya bermasalah.

Kalau mak bapak borek, anak sudah tentulah rintik.