Bekas Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjaya  menahan seramai 65 individu warga China yang terbabit dengan sindiket Macau Scam.

Penahanan itu dilakukan dalam serbuan serentak di pusat bandaraya ini, Selangor dan Pulau Pinang pada 12 Disember lalu.

Menurut Pengarah JSJK, Datuk Amar Singh Ishar Singh, operasi khas itu turut diadakan serentak di Hunan dan Guangdong, China dengan kerjasama polis di negara terbabit.

“Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, kami menahan 65 individu warga China yang berusia 30 hingga 45 tahun di rumah dan premis sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang dipercayai terbabit dengan sindiket Macau Scam.

“Serbuan di Hunan dan Guangdong, China pula seramai 75 individu warga China ditahan pihak polis negara itu yang terbabit dengan sindiket berkenaan.  Sindiket ini dipercayai sudah aktif sejak dua tahun lalu dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat panggilan bagi menipu mangsa di China,” katanya.

Berdasarkan rekod, sebanyak 20 juta yuan atau RM13 juta kerugian direkodkan membabitkan mangsa yang ditipu sindiket penipuan Macau ini.

Semua suspek warga China itu dipercayai telah memasuki negara ini sebagai pelancong.

Mereka ditahan reman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa China untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette