Syed Hassan Syed Ali
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu Kementerian Wilayah Persekutuan terus membangunkan kawasan baharu walau dengan cara tender terus atau tanpa tender kepada mana-mana syarikat.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, harapan Perkasa ialah asalkan pembangunan itu dilakukan dengan telus dan mengikut peraturan ditetapkan demi memberi lebih banyak peluang kepada Bumiputera memiliki rumah sendiri di Kuala Lumpur.

Katanya, tidak timbul isu kerajaan melalui kementerian itu menjual tanah di Kuala Lumpur untuk projek pembangunan tanpa tender kerana ia dilakukan mengikut prosedur, bukan secara salah guna kuasa.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada menteri berkenaan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang tanpa rasa bimbang mengalu-alukan wakil rakyat DAP, Tan Kok Wai membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penjualan tanah di Kuala Lumpur tanpa tender oleh kerajaan.

“Mana-mana pihak jika ada bukti salah laku penjualan tanah kerajaan tanpa tender perlu dihadapkan ke mahkamah. Bagaimanapun, jualan tanpa tender bukan satu kesalahan, tetapi jika ada salah laku cara penjualan itu dibuat, baru ada kesalahan dan pihak yang ada bukti kukuh perlu berani laporan kepada SPRM.

“Kepada Kok Wai, sebelum pertikaikan penjualan tanah tanpa tender oleh kerajaan, sila pertikaikan dulu penjualan tanah tanpa tender oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama di Pulau Pinang yang dikuasai DAP,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Syed Hassan, Perkasa mahu mana-mana pemaju yang diganggu projek mereka oleh pihak tertentu dengan tujuan mendapatkan habuan perlu tampil membuat laporan polis kerana diugut dan diganggu.

Ujar beliau, Perkasa juga ingin tahu dan mahu SPRM menyiasat bagaimana projek membangunkan kawasan baharu di negeri yang diperintah kerajaan PR begitu mudah sekali tanpa ada gangguan mana-mana pihak walaupun banyak melangggar peraturan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast