Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR – Walaupun maklumat dalaman dibocorkan berhubung cadangan untuk melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) namun Nurul Izzah Anwar ‘mengunci mulut’ mengenainya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR itu bagaimanapun tidak menafikan cadangan itu sebaliknya hanya enggan mengulas sambil mendakwa rundingan dijalankan secara belakang tabir.

“Sebab itu saya enggan ulas sekarang kerana saya suka mengadakan perbincangan dan rundingan di belakang tabir. Saya fikir kita telah cukup mendapat publisiti buruk, terima kasih kepada media BN (Barisan Nasional).

“Saya fikir keseluruhan perhimpunan agung UMNO adalah analisis terperinci mengenai kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri sebelum ini.

“Saya fikir, kita hanya akan tumpu agenda reformasi dan ikrar kita berdasarkan apa yang telah diluluskan dan akan dikeluarkan oleh sekretariat HARAPAN, jadi tunggu 7 Januari di mana kita akan mengadakan konvensyen,” beliau dipetik berkata hari ini.

Terdahulu, laporan media sebuah portal mendedahkan selepas pemukiman sebelum pilihan raya HARAPAN pada awal bulan ini, keputusan dibuat untuk melantik Mahathir sebagai perdana menteri sementara dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya jika mereka memenangi pilihan raya.

Bagaimanapun, DAP menegaskan Anwar adalah pilihan perdana menteri. – MalaysiaGazette