Ketua KPDNKK SPT, Abdul Madi Wahab menunjukkan sebahagian beg tangan tiruan dari China yang ditampal pelbagai logo jenama mewah dan dijual secara online yang dirampas dalam serbuan di sebuah kompleks beli-belah di Butterworth, Pulau Pinang petang ini.

PULAU PINANG – Beg tangan tiruan dari China, tetapi ditampal logo berjenama mewah.

Kegiatan tersebut dilakukan tiga buah kedai menjual beg di sebuah pasar raya di Butterworth di sini yang menipu pelanggan demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Lebih licik, beg-beg tangan yang datang dari kilang sama di China itu ditampal dengan beberapa logo jenama mewah dan dijual pada harga diskaun secara dalam talian.

Bagaimanapun, taktik peniaga berkenaan memperdaya pembeli itu ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang yang menyerbu kedai berkenaan petang ini.

Ketua KPDNKK Cawangan Seberang Perai Tengah (SPT), Abdul Madi Wahab berkata, serbuan pihaknya kira-kira pukul 1 petang tadi turut merampas lebih 600 buah beg tangan wanita berjenama tiruan yang dianggarkan bernilai RM60,000.

Kata beliau, operasi itu digerakkan selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang ramai yang tertipu selepas membeli secara dalam talian yang mendakwa beg berjenama berkenaan ditawarkan pada harga diskaun.

“Kita dapati ini merupakan modus operandi baharu peniaga yang mana beg yang sama tetapi digunakan untuk pelbagai jenama mewah.

“Selepas menerima pesanan beg jenama tertentu daripada pelanggan, peniaga ini akan meletakkan logo jenama tersebut pada beg sedangkan beg adalah dari kilang sama,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Menurut Abdul Madi, ketika serbuan dilakukan, pengusaha kedai beg tiruan berkenaan didapati tidak berada di premis berkenaan sebaliknya hanya dijaga pembantu.

Ujarnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011.