Pengarah Urusan Gallery Bookstore Sdn. Bhd., Datuk Mohd Salleh Saidin pada majlis Pembukaan Gallery Bookstore di pasar raya Tesco di Taiping, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 21 DISEMBER 2017

TAIPING – Gallery Bookstore Sdn Bhd yang dimiliki oleh Bumiputera terus melebarkan operasinya dengan membuka cawangan ke-10 di pasar raya Tesco Taiping hari ini.

Menariknya, cawangan terbaru ini adalah yang terbesar berbanding kedai Gallery Bookstore yang lain.

Dengan keluasan kedai hampir 5,000 kaki persegi, Gallery Bookstore Taiping memuatkan 45,000 judul bahan bacaan tidak termasuk kelengkapan pelbagai alat tulis.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pembukaan Gallery Bookstore di Taiping ini melengkapkan sasarannya untuk memiliki 10 buah kedai di seluruh negara pada tahun ini.

Cawangan-cawangan Gallery Bookstore ialah Masjid Tanah, Melaka; Bangi dan Bandar Sri Permaisuri Cheras di Kuala Lumpur; Kuala Kangsar, Alor Setar, Arau, Bertam, Pulau Pinang; Parit Raja dan Bandar Dato Onn, Johor.

“Ini merupakan kejayaan besar buat kami apabila berjaya mereliasasi hasrat memiliki 10 cawangan,” katanya yang menyifatkan penyertaan Gallery Bookstore dalam industri buku untuk memberi manfaat dan pilihan lebih banyak kepada masyarakat.

Pengarah Urusan Gallery Bookstore Sdn. Bhd., Datuk Mohd Salleh Saidin (kanan) bersama bapanya, Saidin Man menyempurnakan majlis Pembukaan Gallery Bookstore di pasara raya Tesco, Taiping, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 21 DISEMBER 2017.

Beliau memberitahu, pihaknya telah melabur sebanyak RM1 juta bagi cawangannya terbaru itu.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Mohd Salleh berkata, beliau mahu memberi fokus terhadap 10 cawangan yang ada terlebih dahulu sebelum merangka strategi seterusnya.

Dalam pada itu, Mohd Salleh berkata, menjelang pembukaan sesi persekolahan 2018, Gallery Bookstore menawarkan diskaun antara 10 hingga 20 peratus bagi alat tulis dan buku.

Selain itu, beliau turut mengalakkan pembeli memiliki Privilege Card untuk mendapatkan potongan sepanjang tahun.

Sejak dilancarkan 1 Mei lalu, kad itu sudah mencapai 10,000 ahli dan mensasarkan bertambah sehingga 25,000 tahun depan. – MalaysiaGazette