Datuk Seri Mohamad Hasan.
Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Pemain bola sepak Negeri Sembilan perlu mematuhi 21 garis panduan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Demikian dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Negeri, Seremban, semalam.

Menurut beliau, sesi penerangan mengenai garis panduan tersebut akan diadakan kepada pemain dan juga pegawai yang terlibat.

Jelasnya, antara elemen atau pantang larang yang terkandung dalam garis panduan itu ialah pemain dilarang melepak sesuka hati di tempat tertentu seperti di kelab malam pada malam hari.

“Pemain juga diingatkan supaya tidak sengaja melanggar disiplin ketika beraksi di padang seperti sengaja mahu dikenakan kad merah dengan memaki pengadil atau menumbuk pemain lawan.

“Antara tindakan yang akan dikenakan kepada pemain berkenaan termasuk memotong gaji mereka, selain disingkirkan daripada pasukan, namun ia bergantung kepada jenis dan tahap kesalahan dilakukan,” katanya yang disiarkan di laman Facebook Rasmi Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan.

Mohamad menambah, PBNS juga akan menjemput wakil Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk menerangkan apa tanggungjawab seorang yang bergelar profesional.

“Jadi apabila semua sudah diberikan penerangan ini dan memahaminya maka jangan salahkan pihak pengurusan jika kita mengambil tindakan drastik atas salah laku yang dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, majlis pengenalan pemain Negeri Sembilan untuk Liga Super akan diadakan pada awal bulan depan.

Menurut beliau, saringan terakhir pemain akan diadakan pada 29 Disember ini menerusi perlawanan persahabatan menentang Selangor.

Negeri Sembila juga akan berdepan berdepan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hari ini. – MalaysiaGazette