Home Nasional Trend penyakit tidak berjangkit meningkat

Trend penyakit tidak berjangkit meningkat

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Persekitaran Hidup Sihat di Bangunan Perdana Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 22 DISEMBER 2017
PUTRAJAYA – Beban penyakit tidak berjangkit (NCD) menunjukkan trend peningkatan dan telah meningkatkan kos rawatan penyakit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan kos rawatan di hospital dan klinik swasta menyebabkan rakyat beralih kepada kemudahan kerajaan.

Menurutnya, walaupun Kementerian Kesihatan menerima peruntukan sebanyak RM27 bilion dalam Bajet 2016 namun jumlah itu tidak dapat menampung beban penyakit NCD untuk jangka panjang sekiranya langkah pencegahan penyakit kronik ini tidak dilaksanakan.

NCD adalah penyakit diabetes, hipertensi, hiperkolesterolemia dan obesiti.

“Kerajaan boleh membina jumlah hospital lebih banyak dan meningkatkan jumlah fasiliti dan kakitangan kesihatan tetapi tanpa usaha-usaha membangunkan polisi ke arah persekitaran hidup sihat dan peranan aktif daripada kementerian dan agensi lain adalah mustahil mencegah penyakit NCD,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Ke Arah Persekitaran Hidup Yang Sihat di sini.

Beliau memberitahu, mesyuarat itu memfokuskan pelaksanaan polisi ke arah persekitaran hidup sihatĀ  dan usaha-usaha mencegah NCD.
Sebanyak 13 polisi telah dibincangkan bagi status pelaksanaan setiap polisi untuk tempoh 2018-2019.

Tambah beliau, tindakan intervensi dalam kalangan kanak-kanak adalah menjadi keutamaan bagi memupuk gaya hidup dan pemakanan yang sihat supaya terus menjadi budaya hidup hingga dewasa.Langkah itu, katanya, wajib dilaksanakan kerana perubahan tingkah laku dan pembudayaan gaya hidup sihat bermula dari awal usia kanak-kanak bagi mewujudkan rakyat Malaysia yang sihat dan berproduktiviti tinggi. – MalaysiaGazette