Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar (dua kanan) menangkap ikan talapia didalam tangki sempena program Jualan Ikan Segar di laman perikanan, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 DISEMBER 2017.

SERDANG – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengurangkan eksport ikan ke luar negara demi memastikan bekalannya di dalam negara mencukupi.

Ketua Setiausaha kementerian tersebut Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, ia langkah yang diambil oleh kementerian sekiranya terdapat perubahan cuaca dan keadaan laut seperti yang berlaku di beberapa kawasan termasuk Pantai Timur yang mengakibatkan aktiviti tangkapan ikan akan terjejas.

“Kita tahu hasil tangkapan ikan mengikut musim dan langkah-langkah telah diambil contohnya mengurangkan eksport ikan kita ke luar negara terutamanya ke Singapura.

“Kita dah maklumkan bahawa bekalan ikan tertentu akan kita sekat daripada kita eksport ke luar bagi memastikan bekalan  dalam negara mencukupi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian di program Jualan Ikan Hidup Gred Premium Harga Ladang di Laman Perikanan, Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar bercakap kepada media pada program Jualan Ikan Segar di laman perikanan, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 DISEMBER 2017.

Sebelum itu,  Jabatan Meterologi (MeTMalaysia) melaporkan angin kencang dengan kelajuan 60 kilometer sejam (km/j) dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur. – MalaysiaGazette