Datuk Md Alwi Che Ahmad

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan mendapatkan peruntukan segera dari kerajaan Persekutuan untuk membaikpulih tebing Sungai Kelantan yang runtuh akibat arus deras sungai itu.

Pengerusinya, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak pengurusan KADA berhubung kejadian tebing runtuh di Kampung Chetok, dekat Pasir Mas dan menghantar pegawainya untuk menyiasat.

“Saya dihubungi oleh Pengurus Besar KADA, menyatakan satu perkara yang luar biasa berlaku, iaitu aduan daripada orang ramai bahawa air Sungai Kelantan mula menerjah tebing di seberang Kampung Chetok, dekat Pasir Mas.

“Saya menghantar pegawai ke tempat kejadian dan kita dapati aliran sungai ini telah berubah. Mungkin kerana arus itu deras menyebabkan tebing yang sebelum ini kita ada bina benteng telah runtuh.

“KADA mengisytiharkan kes ini sebagai darurat dan kita dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan akan mengambil tindakan segera,” katanya kepada media selepas melawat tempat tebing runtuh di Kampung Chetok, deat Pasir Mas semalam.

Menurut Mohd Alwi, pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa bertindak dan melantik kontraktor untuk membaiki tebing berkenaan dan kerja mengukuhkan struktur tebing sedang dilakukan.

Kemudian katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan JPS negeri untuk sama-sama mendapatkan peruntukan bagi memulihkan kembali benteng yang rosak akibat kejadian tebing runtuh itu.

“Kerjasama dua agensi ini perlu kerana sebahaian daripadanya adalah kerja KADA dan sebahagian lagi tugas JPS kerana sungai di bawah jabatan itu.

“Kita akan bekerjasama untuk memulihkan kembali benteng dan tebing ini agar orang ramai dan penduduk yang tinggal berhampiran sungai ini tidak terancam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast