Mohd Salleh Saidin (kanan) bersama bapanya, Saidin Man menyempurnakan majlis Pembukaan Gallery Bookstore di pasara raya Tesco, Taiping, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 21 DISEMBER 2017.

TAIPING – Pelancaran cawangan ke-10 kedai buku Gallery Bookstore yang berlangsung di pasar raya besar Tesco baru-baru ini lain dari yang lain.

Jika kebanyakan usahawan berminat memanggil tokoh-tokoh politik, selebriti atau ahli perniagaan terkenal, pemilik Gallery Bookstore, Datuk Mohd Salleh Saidin pula memilih bapanya, Saidin Man untuk merasmikannya.

Pengarah Urusan Gallery Bookstore itu berkata, beliau rasa rendah diri dan terharu kerana bapa kesayangannya sudi datang dan membuat pelancaran kedai buku itu.

Usahawan muda itu memberitahu, beliau memang menantikan saat-saat itu memandangkan bapanya merupakan tulang belakang kejayaannya pada hari ini.

“Selain kakitangan, rakan-rakan dan keluarga, bapa saya adalah kekuatan dan semangat saya untuk terus berjaya dalam apa sahaja yang saya lakukan. Dialah yang menjadikan siapa saya pada hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohd Salleh berkata, beliau sendiri tidak percaya berjaya melalui cabaran dalam industri buku sehingga mampu mempunyai kedai buku sendiri, bukan satu tetapi 10 cawangan.

Selain Taiping, sembilan cawangan Gallery Bookstore adalah diMasjid Tanah, Melaka; Bangi dan Bandar Sri Permaisuri Cheras di Kuala Lumpur; Kuala Kangsar, Alor Setar, Arau, Bertam, Pulau Pinang; Parit Raja dan Bandar Dato Onn, Johor.

Sementara itu, Saidin yang ditemui mengakui bangga dengan kejayaan anak bongsunya.

Saidin berkata, anaknya itu memang rajin berusaha meskipun bermula dari bawah ketika mula-mula terlibat dalam industri buku.

“Dia anak yang rajin dan pemurah. Pakcik memang memerhatikannya dari jauh dan sentiasa mendoakan kejayaannya pada masa depan,” tambahnya itu sambil tersenyum.

Pesawah itu berkata, selain menjalankan perniagaan buku, Mohd Salleh dapat berbakti kepada rakyat Malaysia melalui buku.

“Ilmu sangat penting dan bacalah buku, dampingi buku yang baik-baik untuk mendapat segala ilmu pengetahuan,” nasihatnya. – MalaysiaGazette