Orang ramai dilihat menyerbu sebuah kedai kasut yang memberi potongan harga sehingga 90 peratus sempena penutupan Pusat Membeli Belah Ampang Park, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Menjelang hari-hari terakhir operasi Ampang Park, ramai pengunjung mengambil kesempatan untuk datang ke pusat membeli belah tertua di Malaysia ini untuk kali yang terakhir.

Bagi Norizah Mat Yasin, Ampang Park bukanlah sekadar pusat membeli-belah yang biasa baginya dan suami, sebaliknya ia merupakan tempat yang banyak menyumbang kenangan manis untuk mereka berdua ketika masih bercinta dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Di situlah tempat Norizah dan pasangan berjumpa pada awal-awal perkenalan mereka.

“Saya datang sini, saya imbas sekali lagi masa dulu-dulu temu janji dengan suami saya masa dulu-dulu belum kahwin.

“Sebab saya dah biasa di sini, dalam tempoh pembinaannya yang berpuluh tahun tu, dua tiga bulan sekali datang tu. Dari dulu sampai sekarang kira kerap jugalah.

Pengunjung, Norizah Mat Yasin ketika ditemubual wartawan Malaysia Gazette di Pusat Membeli Belah Ampang Park, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 DISEMBER 2017.

“Bila dengar berita semalam memang akan dirobohkan juga bangunan ini, jadi saya buat keputusan untuk datang juga hari ini,” katanya yang berusia 56 tahun itu.

Beliau dalam masa sama bakal merindui kemeriahan Ampang Park yang tidak pernah ketandusan pengunjung apatah lagi menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Sebab sini nak cari barang keperluan perayaan tu memang lengkap, tudung ada, kuih raya, kasut pakaian semua ada.

“Suasana menjelang Hari Raya Aidilfitri di sini memang meriah, ramai orang, dengan tempat letak kereta pun tiada, sesaklah. Seronoklah,” tambahnya.

Berbeza dengan Norizah, Zarinah Ramli, 53 bersama rakan-rakannya menjadikan pusat membeli belah itu sebagai memori yang tidak dapat dilupakan semasa menuntut di sekolah menengah dan universiti lagi.

Katanya di situlah tempat dia dan rakan-rakan berkumpul.

Pengunjung, Zarinah Ramli ketika ditemubual wartawan Malaysia Gazette di Pusat Membeli Belah Ampang Park, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 DISEMBER 2017.

“Biasanya waktu sekolah-sekolah dulu memang sekolah di KL, jadi tempat-tempat perjumpaan inilah dia. Berkumpul di sini, reunion di sini.

“Kawan-kawan yang dari jauh Pulau Pinang semua ke sini, berkumpul di sini,” ujarnya.

Belumpun lagi dirobohkan namun Zarinah mengakui telah mula rasa kehilangan tetapi tidak menolak pembangunan yang perlu diutamakan seiring dengan peredaran waktu.

Sependapat dengan Zarinah, seorang lagi ‘orang lama’, Mustafar Kazir Abdul Rahman turut menganggap pengganti Ampang Park, iaitu projek Transit Aliran Massa (MRT), merupakan satu keperluan bagi menangani masalah kesesakan lalulintas pada masa kini.

Pengunjung, Mustafar Kazir Abdul Rahman ketika ditemubual wartawan Malaysia Gazette di Pusat Membeli Belah Ampang Park, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 DISEMBER 2017.

“Mungkin sekarang keadaan dah berubah. Kebetulan diperlukan tempat ini, jadi bagi saya perlu jugalah untuk pembangunan,” katanya yang mengambil peluang berbelanja di situ buat kali yang terakhir. – MalaysiaGazette