Sebahagian mangsa membuat laporan polis berkaitan penipuan syarikat MGSB bernilai jutaan ringgit di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli korporat bergelar ‘Datuk’ sanggup mempergunakan agama Islam dengan menipu lebih 500 pelabur berbangsa Melayu.

Ahli korporat itu telah berjaya mengaut keuntungan lebih RM40 juta dalam tempoh beberapa bulan.

Individu berkenaan yang melakukan penipuan dengan menyamar sebagai ‘peguam syariah’ turut menipu para pelabur untuk melabur sebagai rakan niaga dalam perniagaan di Indonesia yang mampu menjana keuntungan antara 18 hingga 20 peratus.

Modus operandi lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Datuk Hisyamuddin Che Omar itu memperdayakan mangsa dengan mendakwa beliau mahu membantu masyarakat Melayu Islam untuk menaiktaraf ekonmi mereka.

Rata-rata mangsa yang berumur antara 30 hingga 50 tahun itu kemudian melabur daripada RM80,000 hingga RM180,000 seorang untuk membolehkan menyertai pelaburan tersebut sejak awal tahun ini.

Penipuan yang dilakukan di bawah syarikat dikenali MGSB itu menawarkan mangsa menjadi rakan kongsi permodalan bagi dua projek iaitu import dan eksport kelapa pada Januari lalu dan pembangunan di Pulau Sirandah, Sumatera Barat pada Mei lalu.

Mangsa hanya sedar ditipu selepas beberapa bulan berlalu apabila tidak menerima khabar berita berhubung perniagaan tersebut walaupun setelah memasukan ratusan ribu ringgit ke dalam akuan MGSB sejak April tahun ini.

Berikutan itu, seramai 400 mangsa membuat laporan polis seluruh negara terhadap MGSB yang diterajui oleh Datuk tersebut bersama empat lagi suspek.

Menurut peguam yang mewakili kumpulan pelabur itu, Faizal Rahman & Co, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan keadilan terhadap mangsa-mangsa terbabit.

Faizal berkata, aduan rasmi kepada BNM itu dibuat selepas pihaknya mendapati wujudnya penipuan berdasarkan dokumen diberikan mangsa.

“Menerusi maklumat yang kita kumpul, syarikat ini bukan menawarkan pelaburan, sebaliknya menawarkan kesemua mangsa untuk menjadi rakan kongsi permodalan dengan pulangan modal serta keuntungan antara 18 hingga 20 peratus setiap bulan.

“Tempoh pembayaran ini berbeza iaitu bagi projek import serta eksport kelapa, kesemua mangsa ditawarkan pembayaran keuntungan sehingga dua tahun manakala bagi projek pembangunan di Pulau Sirandah, mereka ditawarkan pembayaran keuntungan sama hingga 10 tahun,” katanya kepada media selepas menyerahkan dokumen aduan rasmi kepada wakil BNM.

MGSB juga merupakan antara syarikat pelaburan skim cepat kaya yang berada dalam pemerhatian dan tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman seperti yang didedahkan oleh Pengarahnya, Datuk Amar Singh Ishar Singh baru-baru ini.

Menurut Faizal, kebanyakan mangsa penipuan membabitkan projek pembangunan di Pulau Sirandah yang mana syarikat berkenaan langsung tidak pernah membayar walau satu sen kepada mangsa.

Peguam, Faizal Rahman bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berkaitan penipuan syarikat MGSB bernilai jutaan ringgit di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 DISEMBER 2017

“Menerusi projek import eksport kelapa, hanya segelintir saja peserta sudah mendapat semula modal yang dibayar termasuk bayaran keuntungan bagi tempoh tiga bulan.

“Namun, bagi projek pembangunan di Pulau Sirandah, setakat ini syarikat itu langsung tidak membuat bayaran keuntungan kepada kesemua mangsa,” katanya.

Difahamkan, jumlah sebenar penipuan berkenaan adalah sebanyak RM40 juta membabitkan kira-kira 500 mangsa, namun setakat ini hanya 260 mangsa tampil membuat aduan kepada syarikat guaman tersebut.

Pada 15 September lalu, BNM bersama Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara (NRRET) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu syarikat yang didalangi seorang lelaki berpangkat Datuk.

Hasil serbuan itu, BNM membekukan 54 akaun di 11 bank selain merampas wang dalam ringgit serta matawang asing berjumlah lebih RM700,000 mengikut Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Dalam pada itu, salah seorang daripada mangsa, Salina Hamidon, 51, yang ditemui MalaysiaGazete sejurus membuat laporan merayu agar syarikat MGSB memulangkan kembali kesemua wang yang telah dilaburkan.

Salina Hamidon, 51 bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berkaitan penipuan syarikat MGSB bernilai jutaan ringgit di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 DISEMBER 2017.

“Saya berasa sangat sedih dan terkilan kerana kami bukan sahaja dijanjikan pulangan yang baik tetapi MGSB bercakap seolah-olah mereka berniat untuk membantu masyarakat Melayu ke tahap yang lebih baik.

“Janganlah guna agama dan tipu kami, wang yang kami laburkan sangat banyak. Saya sendiri telah menggunakan wang simpanan sebanyak RM80,000 untuk melabur dengan harapan tinggi akan mendapat pulangan baik. Rupanya semua ini adalah bohong.

“Tolong pulangkan wang titik peluh kami ini, ini sahaja yang kami ada. Dan kami juga tidak akan berhenti berjuang selagi wang kami tidak dipulangkan,” ujarnya.- MalaysiaGazette