KUALA LUMPUR – Masjid, surau dan sekolah-sekolah di bawah kawal selia Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak dibenarkan dijadikan tempat berpolitik atau propaganda politik kepartian sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), Kuala Kubu Baharu.
Malah, semua penjawat awam di bawah seliaan JAIS termasuk penolong pendaftar perkahwinan agar bersikap profesional dan mematuhi ketetapan serta arahan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), kata Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
“JAIS ingin mengingatkan bahawa titah Sultan Selangor dan ketetapan MAIS berhubung perkara ini masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi sepenuhnya.
“Pegawai masjid, pentadbir surau dan ketua guru bertanggungjawab terhadap premis yang berada di bawah kawalannya dengan melaksanakan amanah ini dengan jujur dan ikhlas tanpa dipengeruhi oleh sebarang sentimen politik kepartian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Shahzihan menambah, sekiranya perkara berkaitan dilakukan, JAIS akan merujuk kepada Seksyen 12(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017, Garis Panduan Pelantikan, Penyambungan dan Penamatan Tauliah Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang ISlam Negeri Selangor dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2006 bagi diambil tindakan. – MalaysiaGazette