Rosli Che Mohamed, 64, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung kira-kira 12 tahun lalu. Foto Aniq Nabilafiq Anuar.

IPOH – Seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, kira-kira 12 tahun lalu.

Tertuduh, Rosli Che Mohamed, 64, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa mahkamah membaca pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Ibrahim Osman.

Berdasarkan pertuduhan, pesara kerajaan itu didakwa telah menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak dengan memperdaya lembaga tersebut untuk mempercayai bahawa tanah No Hak Milik PN 174770-174772, No Lot PT 17527-17529, Mukim Sitiawan, adalah bukan Tanah Rizab Melayu melalui Borang Pembetulan Data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bertarikh 25 Mac 2011.

Melalui perbuatan tersebut, tertuduh telah mendorong Lembaga terbabit untuk meluluskan Permohonan Pecah Sempadan Tanah bagi Hakmilik PN 174772, Lot 17527 kepada 317 Plot seluas kira- kira 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Daerah Manjung kepada Nadi Agrobusiness Sdn Bhd yang mana Lembaga tersebut tidak akan berbuat demikian sekiranya ia mengetahui perkara tersebut adalah tidak benar.

Perbuatan tersebut dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, Bangunan Sri Perak Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini pada 4 Januari 2012.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor yang mengetuai pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Syahrul Nizam Mohd Rabi mengemukakan rayuan supaya mahkamah mengurangkan jaminan terhadap anak guamnya atas faktor usia.

Selain itu, Syahrul turut memaklumkan anak guamnya perlu menjalani rawatan di Institut Jantung Negara setiap enam bulan kerana menghidap sakit jantung.

Ibrahim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan tanpa gagal dan menetapkan 30 Mei depan sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette