Koordinator Pembangunan Persekutuan N18 DUN Hulu Kelang, Ismail Ahmad (kanan) bercakap kepada pemberita selepas Program Kembali ke Sekolah anjuran Seniman di Kompleks Studio Merdeka, FINAS, Jalan Hulu Kelang, Ampang, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR – Ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang bakal menikmati 5,000 unit rumah mampu milik PR1MA di kawasan itu sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) akan datang.
Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Hulu Kelang, Ismail Ahmad berkata, penduduk kawasan itu perlu memastikan BN mengambil alih DUN Hulu Kelang untuk membolehkan PR1MA membina rumah mampu milik di kawasan tersebut.
“Masih ramai ahli-ahli Seniman masih tidak mempunyai rumah sendiri yang menyewa di sekitar kawasan Hulu Kelang, Selangor.
“Saya telah berbincang dengan pihak PR1MA, Insya-Allah kalau kita menang, PR1MA akan bina 5,000 unit rumah rakyat di sekitar kawasan Hulu Kelang,” katanya kepada pemberita selepas Program Kembali Ke Sekolah anjuran Seniman di Kompleks Studio Merdeka, FINAS, di sini, semalam.
Lebih 100 penerima Progam Kembali Ke Sekolah dalam kalangan anak-anak ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), asnaf, anak yatim dan masyarakat DUN Hulu Kelang bergambar bersama Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil (duduk kanan tengah) dan Koordinator Pembangunan Persekutuan N18 DUN Hulu Kelang, Ismail Ahmad (duduk kiri tengah) di Kompleks Studio Merdeka, FINAS, Jalan Hulu Kelang, Ampang, Selangor, semalam.

Beliau berkata, pihakya telah mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembangunan perumahan PR1MA itu dalam kawasan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita kenal pasti tanah dan masih banyak lagi dalam kawasan di Sungai Sering dan Kampung Kemensah untuk dibina rumah rakyat demi kepentingan ahli-ahli Seniman dan khususnya warga Hulu Kelang sendiri,” katanya.

Katanya, penyediaan infrastuktur itu merupakan salah satu manifesto BN pada PRU14 akan datang dan beliau akan bekerjasama dengan Seniman untuk memastikan pengiat seni tempatan turut mendapat pembelaan.

“Inilah masa yang paling banyak di bawah Zed Zaidi membuat program-program kebajikan demi kepentingan ahli-ahli Seniman,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, program itu merupakan julung kali diadakan sejak beliau menerajui persatuan untuk penggiat seni itu pada Mei 2012.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi (kiri) bercakap kepada pemberita selepas Program Kembali ke Sekolah anjuran Seniman di Kompleks Studio Merdeka, FINAS, Jalan Hulu Kelang, Ampang, Selangor, semalam.

“Kita tengok program kali ini sangat menggalakkan dan Insya-Allah kita akan anjurkan lagi program seperti ini pada tahun-tahun akan datang.

“Lebih 100 orang menerima bantuan permulaan sekolah ini terdiri daripada 60 anak-anak Seniman dan selebihnya adalah asnaf, anak yatim dan masyarakat Hulu Kelang,” katanya.

Bantuan kelengkapan persekolahan itu disumbangkan daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Finas, Sekretariat 12 dan The Chef. – MalaysiaGazette