Richard Riot

PUTRAJAYA – Majikan yang diberi perakuan untuk menggaji pekerja asing adalah diwajibkan untuk menandatangani ‘Aku Janji Majikan’ dan menanggung kos bayaran levi sepenuhnya bagi penggajian setiap pekerja asing, berkuatkuasa 1 Januari depan.

Dengan ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata, sejak 1 Februari tahun ini, sebanyak 5,687 majikan daripada pelbagai sektor telah menandatangani Aku Janji Majikan yang melibatkan penggajian seramai 160,131 orang pekerja asing baharu.

Sehingga 19 Disember tahun ini, beliau berkata, sebanyak 522 orang majikan yang melibatkan 11,514 orang pekerja asing baharu telah mendapat perakuan untuk menggajikan pekerja asing tetapi masih belum menandatangani Aku Janji Majikan.

“Mereka juga dikehendaki berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Riot berkata, keputusan kerajaan mewajibkan para majikan untuk menanggung kos bayaran levi dan ia turut terpakai ke atas semua majikan yang menggaji pekerja asing sebelum 1 Februari 2017.

Sejak 25 Mac 2016, beliau berkata, kerajaan telah memutuskan bahawa bayaran levi bagi setiap pekerja asing yang digajikan di pelbagai sektor ekonomi akan dibiayai oleh majikan sepenuhnya.

Katanya, penetapan ini yang sepatutnya dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini telah ditangguhkan kepada 1 Januari depan ekoran rayuan daripada pelbagai kesatuan majikan.

“Keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan bayaran levi penggajian pekerja asing telah menyediakan platform masa selama satu setengah tahun untuk membuat persediaan yang sewajarnya dalam memenuhi penetapan baharu ini,” katanya. — Bernama