Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan selamat beristirehat kepada veteran DAP, Lim Kit Siang yang selamat menjalani pembedahan membuang tumor kecil pada buah pinggang kirinya hari ini.

“PKR telah menerima berita tentang pembedahan mengeluarkan ketumbuhan di buah pinggang Ketua Parlimen DAP, Sdr Lim Kit Siang, yang telah berjalan dengan lancar.

“Bagi pihak parti, saya ucapkan selamat beristirehat buat Sdr Kit Siang. Saya turut mendoakan agar beliau akan segera kembali sihat,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, bapanya telah selamat menjalani satu pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada buah pinggang.

Kit Siang yang juga ahli Parlimen Gelang Patah menjalani prosedur laparoscopic partial nephrectomy pada 19 Disember lalu.

“Prosedur laparoscopic partial nephrectomy itu berlangsung dengan baik dan doktor menjangkakan beliau akan kembali pulih seperti sedia kala tanpa sebarang komplikasi.

“Tumor kecil ini mujur ditemui ketika pemeriksaan kesihatan berkala ke atas Kit Siang.

“Ujian biopsi ke atas tumor yang telah dibuang ini mendapati bahawa ia adalah kanser tahap pertama (Stage 1A), kanser tahap paling rendah,” katanya.

Dalam pada itu, semua urusan di kawasan Gelang Patah akan dikendalikan wakil khas, Ng Siam Luang dan pejabat parlimen DAP Gelang Patah. – MalaysiaGazette