KUALA LUMPUR – Program Bicara Anak Muda yang menampilkan ahli panel Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Datuk Husam Musa yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu malam ini, dibatalkan secara tiba-tiba.
Program anjuran sebuah portal politik Sokmo.net itu dijadual bermula jam 9 malam ini dengan moderatornya seorang aktivis politik, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad.
Menurut sumber, beliau diberitahu oleh pihak hotel berkenaan petang ini, yang memaklumkan mereka menerima arahan daripada pihak tertentu supaya membatalkan tempahan dewan.
Katanya, sebelum ini pihaknya telah menjemput pemimpin Pas Kelantan sebagai ahli panel, tetapi tidak menerima sebarang jawapan untuk hadir.
“Walaupun Pas pada dasarnya menolak jemputan itu, kita tetap meneruskan program ini setelah Husam bersetuju untuk berdialog dengan anak muda,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurut sumber itu, program tersebut untuk memberi peluang kepada anak muda bertanya kepada pemimpin parti mengenai isu semasa berkaitan kerajaan negeri Kelantan.
Katanya, ia juga bertujuan memberi pemahaman dan menjawab isu yang menjadi persoalan rakyat Kelantan berhubung kelemahan urus tadbir kerajaan negeri yang dipimpin Pas sejak 27 tahun.
“Program bicara siri pertama ini bertajuk “Merungkai 1001 Persoalan Bersama YB Dato’ Haji Husam Musa” turut dirancang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sokmo.Net.,” katanya
Husam adalah bekas Exco Kanan kerajaan negeri yang telah disingkir oleh pimpinan Pas berikutan kelantangannya mengkritik dan mendedahkan kelemahan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Program itu bakal memberi peluang kepada rakyat Kelantan mendengar penjelasan Husam dan bertanya soalan kepadanya.
MalaysiaGazette difahamkan, sebelum ini pihak penganjur pernah menjemput wakil dari Pas sebanyak dua kali untuk menyertai program berkenaan, tetapi ditolak. – MalaysiaGazette
















