SHAH ALAM – Memahami dan prihatin dengan masalah dihadapi golongan miskin bandar di sekitar bandaraya ini, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Shah Alam menganjurkan program Kurangkan Beban Ibu Bapa.
Melalui program itu, Puteri mengenal pasti antara 250 hingga 300 murid dari keluarga kurang berkemampuan untuk diberikan bantuan berbentuk pakaian dan peralatan sekolah bagi meringankan beban perbelanjaan ibu bapa.
Menurut Ketuanya, Nurulhusna Yem, jawatankuasa Puteri Bahagian membawa murid berkenaan bersama ibu bapa masing-masing untuk memilih baju, seluar dan kasut sekolah di pusat beli belah pakaian di bandar ini.
Katanya, ini adalah program kelima anjuran Puteri UMNO Bahagian Shah Alam sejak 2013 dan dijangka berterusan menghulurkan bantuan untuk keluarga miskin bandar itu pada tahun depan.
“Tahun ini kita sasarkan seramai 250 hingga 300 penerima untuk menerima bantuan persekolahan ini. Sumbangan untuk Puteri ini kita dapat peruntukan dari Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang sentiasa prihatin dengan masalah masyarakat miskin bandar.
“Masih ramai lagi warga bandaraya Shah Alam yang memerlukan bantuan dan sokongan secara sosial yang mana kita lakukan ini adalah untuk mengurangkan beban mereka,” katanya di sini, semalam.
Menurut Hurulhusna, Puteri UMNO Bahagian mendapatpotongan diskaun 15 peratus dari pusat beli belah pakaian bagi tujuan program berkenaan.

Semetara itu, ibu kepada penerima, Norrizah Salleh mengucapkan terima kasih dan bersyukur kerana anaknya dipilih untuk menerima sumbangan pakaian seragam sekolah.
Dia yang ada dua anak bersekolah mengakui setiap kali musim persekolahan bermula, kehidupannya dibelenggu beban berat dalam memikirkan untuk menyediakan pakaian dan peralatan sekolah anak.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Puteri UMNO Bahagian Shah Alam ini memahami masalah yang dihadapi ibu bapa dan menyediakan sumbangan pakaian sekolah.
“Sekurang-kurangnya usaha Puteri ini menggembirakan ibu bapa dan saya berharap program seumpama ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
















