KUALA LUMPUR – Seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam pembunuhan kejam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru pada 17 Disember lalu, disambung reman selama tujuh hari.
Bagaimanapun, tujuh suspek termasuk enam yang ditahan di Singapura pada 21 Disember lalu telah dibebaskan hari ini.
Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias membenarkan tempoh tahanan reman suspek yang berusia 22 tahun itu bermula esok hingga 4 Januari depan.
Permohonan reman dikemukakan terhadap suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tempoh reman selama seminggu ke atas suspek itu bermula 22 Disember lalu berakhir hari ini.
Dengan perintah sambung reman itu, setakat ini tiga suspek masih direman, manakala 11 lagi sudah dibebaskan termasuk empat semalam.
Dalam kejadian kira-kiram 7.30 malam 17 Disember lalu, seorang lelaki yang juga ahli kongsi gelap berusia 44 tahun yang sedang mengisi angin tayar diserang sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta jenis BMW.
Mangsa dibelasah dan ditikam di dada sebelum digilis kereta BMW yang dipandu suspek.
Susulan itu, Polis Johor menahan 15 suspek termasuk empat wanita berusia 16 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan.
Kereta BMW putih yang digunakan dalam kejadian itu telah ditemui ditinggalkan di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Air Baloi, Pontian semalam.
Kereta itu yang nombor pendaftarannya sudah dibuang ditemui orang awam kira-kira jam 3 petang, sebelum memaklumkan kepada polis. – MalaysiaGazette
















