Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengadakan mesyuarat agung partinya buat julung kalinya hari ini.

AGM itu pasti bersejarah kepada parti serpihan UMNO itu memandangkan dalam suasana getir mereka mencari ruang dalam proses demokrasi selain bagi menghadapi PRU-14.

Ucapan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pasti menjadi tumpuan.

Sayangnya ketika debat media tidak dibenarkan membuat liputan.

Apa pun, isu yang dibawa menjelang AGM ialah mengesahkan Mahathir sebagai Perdana Menteri walaupun interim sekiranya pembangkang mengisi kemenangan dalam PRU-14.

Ia pasti menjadi harapan kepada ahli-ahli PPBM kerana selain bos mereka menjadi PM ia bakal menjadi kemenangan moral kepada parti yang paling muda dalam komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

‘Ketiadaan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim – walaupun dipersetujui secara kolektif dalam PH untuk menjadi PM harus diterima walaupun perit.

Lagi pun bukan senang proses pengambilalihan dilakukan dan terpaksa melalui pelbagai proses perundangan termasuk perkenan Yang Dipertuan Agong (YDPA).

Satu lagi, tugas membawa Anwar keluar memerlukan pengampunan YDPA selain Anwar pula bukan lagi ahli parlimen.

PKR walaupun akur menjadikan Mahathir sebagai PM interim namun jauh di sudut hati, mereka cuak.

Cuak kerana bimbang jika Mahathir menjadi PM semula, PPBM sukar ‘melepaskan’ jawatan dan mungkin akan terus dipegang oleh Muhyiddin.

Lagi pun, jangan tipulah. Masih ramai penyokong PKR terutama Otai Reformasi masih ‘berbuku’ dengan Mahathir.

Jika tidak kenapa Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar masih flip flop dengan keputusan melantik Mahathir?

Jika tidak kenapa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dilihat ‘menggunakan’ saluran media kerajaan negeri Selangor mengangkatnya sebagai layak menjadi PM?

Bagi PPBM, seperti yang dinyatakan Muhyiddin, rakyat mahu tahu siapa jadi PM jika PH menang dan kalau dibaca secara tersirat – PH kena cepat-cepat iktiraf Mahathir.

Malah mereka beranggapan hanya Mahathir mampu ‘mengalahkan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas Anwar telah gagal beberapa kali.

Jika wakil PPBM jadi PM parti mereka sudah pasti naik cepat walaupun rakan-rakannya mereka seperti PKR dan DAP jauh lebih established.

Tunggulah nanti apa resolusi PPBM.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast