KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mencadangkan agar kerajaan menambah peruntukan kepada golongan bukan bumiputera kepada 10 peratus daripada keseluruhan peruntukan diagihkan kepada Bumiputera di negara ini.
Beliau memberi contoh di mana dalam Belanjawan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2022, Bumiputera diperuntukkan sebanyak RM11.4 bilion manakala bukan bumiputera diberikan tiga peratus atau RM345 juta.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjelaskan beliau pernah meminta penjelasan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai jurang besar peruntukan kepada sesuatu kaum.
Justeru menurutnya, cadangan menaikkan peratusan peruntukan untuk golongan bukan Bumiputera itu selaras hasrat Kerajaan Perpaduan yang mahu menjaga kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
“Saya menyokong apa-apa jumlah yang diberikan untuk membantu kaum bumi tetapi yang diminta ialah peratusan tiga peratus yang diperuntukkan kepada kaum bumi dinaikkan kepada 10 peratus untuk kaum bukan bumi.
“Contohnya sekiranya RM12 bilion diperuntukkan kepada kaum Bumiputera, berikanlah 10 peratus atau RM1.2 bilion kepada kaum bukan bumi.
“Ini selaras dengan kerajaan perpaduan yang menjaga semua rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi DAP berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan menyokong RUU yang memperuntukkan sejumlah RM20.2 bilion dan tambahan perbelanjaan pembangunan bernilai RM2.3 bilion dengan ia adalah kelaziman prosedur bagi menegakkan akauntibiliti proses belanjawan, terutama perbelanjaan luar jangka.
“Ada keperluan bagi perbelanjaan luar jangka susulan ketidaktentuan ekonomi berikutan dasar ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang agak bercelaru berkisarkan pelaksanaan tarif secara menyeluruh, pertumbuhan ekonomi lemah China, iaitu rakan dagang terbesar Malaysia dan penurunan permintaan semikonduktor.
“Sebelum ini pertumbuhan ekonomi dilihat sebagai lembab. Harga eksport negara pada Januari lalu, naik 0.3 peratus berbanding Disember 2024, biarpun ia dijangka naik lima peratus oleh pakar ekonomi. Kenaikan juga disebabkan oleh kenaikan harga bahan eksport seperti harga minyak.
“Inilah sebabnya indeks nilai seunit eksport meningkat 0.3 peratus pada Januari lalu, manakala jumlah indeks eksport menurun 11.6 peratus. Dari segi perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport meningkat 2.7 peratus, namun jumlah volum eksport berkurang 2.4 peratus,” ujarnya.
Guan Eng berkata, jualan kenderaan pada Januari lalu juga merosot 40 peratus berbanding Disember 2024, manakala perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan 27 peratus. – MalaysiaGazette