KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan supaya mempergiatkan usaha pencegahan banjir lebih awal, khususnya ketika memasuki bulan September.
Baginda bertitah, kerja-kerja pembersihan dan pendalaman parit serta longkang, terutama di kawasan yang sering dilanda banjir, perlu diberi perhatian segera bagi memastikan sistem saliran berada pada tahap terbaik dalam menghadapi kemungkinan banjir.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya pihak berkaitan memastikan projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan secara berperingkat berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Baginda bertitah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya kerajaan negeri dan agensi terlibat terus memantau serta mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah secara haram di seluruh Pahang dengan lebih berkesan, tegas dan bijaksana berlandaskan undang-undang.
Baginda bertitah, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan isu pencerobohan tanah haram tidak terus berlarutan selain memastikan pengurusan dan pemilikan tanah negeri dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana perkembangan kes-kes mahkamah berkaitan pencerobohan tanah haram dilihat memihak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Baginda berharap tindakan penguatkuasaan dan perkembangan positif dalam kes mahkamah berkenaan dapat membantu Kerajaan Negeri menangani isu pencerobohan tanah secara lebih berkesan.
Dalam masa sama, baginda menekankan kepentingan semua pihak berkaitan untuk terus bekerjasama dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi memastikan kesejahteraan serta keselamatan rakyat Pahang sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette
















