Fauzi Zahari

KUALA LUMPUR – Tindakan PKR yang meletak syarat kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri sementara membuktikan parti tersebut masih tidak mempercayai sepenuhnya bekas perdana menteri itu.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Fauzi Zahari mendakwa, langkah yang diambil parti pembangkang untuk melantik Perdana Menteri sementara tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Beliau menyifatkan ia satu perkara yang tidak masuk akal sehingga sanggup bermain politik ke tahap itu.

“Ini satu perkara tidak pernah berlaku dan saya kata ini tidak boleh dibenarkan berlaku… Ini macam mutaah, kahwin sementara.

“Reformasi tertubuh disebabkan Mahathir, disebabkan itulah mereka letak syarat sebab nak sangat untuk menang.
Saya rasa rakyat Malaysia bijak ini adalah permainan politik mereka yang saya rasa ini tidak adil kepada rakyat,” kata beliau semasa ditemui selepas program MyPrihatin Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di SMK Keramat Wangsa hari ini.

Mahathir yang kini Pengerusi PPBM dan PH sebelum ini bertanggungjawab memenjarakan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berkuasa.

Jelas Fauzi, langkah tersebut juga menunjukkan pembangkang ketandusan pemimpin dan meletak Mahathir hanya bertujuan semata-mata untuk menang tetapi tidak memikirkan kepentingan rakyat.

“Ini bukan perkara bijak dilakukan oleh sesuatu parti yang dalam keadaan kesatuan pun tidak ada, ini menunjukkan bahawa mereka ketandusan pemimpin untuk mentadbir secara konsisten.

“Maknanya, pada awal-awal lagi mereka tidak yakin dan hanya mahu gunakan Mahathir buat sementara untuk menang dan kemudian mengeluarkan dia selepas menang,” ujarnya lagi.

Blok pembangkang dikatakan bakal menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sementara sebelum memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk dalam penjara untuk menjawat jawatan penting tersebut. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Apa yg diperjuangkan oleh parti pakatan ni memang utk capai kepentingan peribadi sebab tu mereka sanggup lakukan perkara yg xpernah berlaku dalam sejarah negara.. perjuangan mereka ni patut kita semua sedar agar nama baik negara tidak terus tercemar.. moga sokongan akn terus bersama kepimpinan sedia ada agr kedaulatan negara terus terbela.

Comments are closed.