Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua lokasi iaitu Shah Alam, Selangor dan Pulau Pinang dikenal pasti oleh Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan untuk membina dua lagi Pusat Tranformasi Bandar (UTC) tahun depan.

Menurut Pengarah Unit Strategi Nasional, Datuk Dr. Aminuddin Hassim, pihaknya menjangkakan pembukaan dua UTC itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2018.

Katanya, UTC penting bagi masyarakat bandar dan warga kerja untuk berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.

“Pembukaan dua UTC ini bagi tempoh enam bulan pertama 2018 akan membolehkan penyediaan pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta, sekali gus memudahkan urusan rakyat.

“UTC Selangor akan dibangunkan di kawasan Shah Alam, manakala beberapa tempat lagi di Pulau Pinang sudah dikenal pasti bagi pelaksanaan projek,” katanya pada sidang media selepas Majlis PraPelancaran UTC Pasir Gudang, Johor Bahru, hari ini.

Menurut Dr. Aminuddin, pembinaan sesebuah UTC memerlukan keluasan kawasan sekurang-kurangnya 9,290.3 meter persegi bagi menempatkan 20 hingga 30 agensi di bawah satu bumbung.

Ujar beliau, proses pembinaan sesebuah UTC pula mengambil masa kira-kira 10 minggu dan tidak melebihi enam bulan.

“Kita berharap UTC di Selangor dan Pulau Pinang akan dapat disiapkan dan beroperasi dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan.

“Sehingga kini terdapat 21 UTC yang beroperasi bagi memenuhi agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast