Plaza tol Batu Tiga antara tiga plaza tol yang dimansuhkan kutipan mulai 1 Januari 2018.

SHAH ALAM – Tiga plaza tol, dua di Selangor dan satu di Kedah dimansuhkan kutipannya menjelang tengah malam ini.

Plaza Tol yang dimansuhkan itu ialah Sungai Rasau, Klang; Batu Tiga, Shah Alam dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusoff, pemansuhan kutipan tol itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat Oktober lalu.

Katanya, hasrat murni kerajaan ini berjaya direalisasikan hasil beberapa siri rundingan bersama pihak berkepentingan sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara diri dan meningkatkan kualiti hidupbrakyat khususnya di Selangor, Kedah dan Johor.

“Dengan pemansuhan kutipan tol ini, pengguna di Selangor dan Kedah akan menikmati laluan tol selama 20 tahun lebih awal daripada tempoh ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya PLUS.

“Bagi Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) pula, pengguna di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hanya perlu membayar kutipan tol bagi PLUS untuk jajaran Tambak Johor sahaja,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media di Majlis Kesyukuran sempena Pemansuhan Tol Sungai Rasau dan Tol Batu Tiga di sini, hari ini.

Satu majlis simbolik pemansuhan kutipan tol diadakan di Plaza Tol Sungai Rasau, Klang melibatkan Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi yang berkenaan.

Menurut Fadillah, kira-kira 270,000 penduduk sekitar Shah Alam dan Klang, 2,800 sekitar Bukit Kayu Hitam dan 42,000 pengguna harian EDL bakal mendapat manfaat penjimatan kos kewangan hasil rundingan kerajaan berhubung pemansuhan tol berkenaan.

Beliau menganggarkan penduduk sekitar Bukit Kayu Hitam yang menaiki kereta memperolehi penjimatan RM79.20 hingga RM108 sebulan.

“Bagi pengguna jalan raya Kelas 1 (kereta) yang melalui Sungai Rasau pula mampu berjimat dari RM92.40 hingga RM126 sebulan, manakala pengguna jalan raya Batu Tiga, Shah Alam mendapat penjimatan RM48.40 hingga RM66 sebulan,” katanya.

Kata beliau, berikutan pemansuhan itu, operasi dan penyenggaraan keseluruhan jajahan Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 dan Lebuhraya PLUS antara Bukit Kayu Hitam hingga Paya Kemunting, Jitra, Kedah serta EDL akan diletakkan di bawah tanggungjawab JKR. – MalaysiaGazette