Setiausaha Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari

KUALA LUMPUR – Permohonan maaf oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir hanyalah sekadar retorik bagi memastikan impian dirinya untuk menjawat kembali jawatan nombor satu negara seandainya pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum tahun hadapan.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari berkata, Mahathir sebenarnya tidak ikhlas malah hanya ‘mempermainkan’ perasaan rakyat jelata untuk memastikan dirinya terus mendapat sokongan serta mandat untuk menjadi Perdana Menteri kembali.

Vell Paari berkata, beliau cukup kagum dengan cita-cita Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri walaupun sebelum ini telah memegang tampuk pemerintahan selama hampir 22 tahun ketika masih bersama UMNO.

“Selama menjadi Perdana Menteri, beliau adalah seorang diktator dan pemerintahan kuku besi sudah tentu sukar dilupakan termasuk pembangkang yang banyak menerima cabaran serta tamparan.

“Kini beliau menyertai puak pembangkang dan bercita-cita besar untuk ‘mengetuai’ perjuangan mereka dengan syarat diberikan jawatan Perdana Menteri. Cukuplah Tun M, rakyat bukan bodoh untuk terus percaya semua ini.

“Apapun kita jangan lupa dengan sejarah hitam ketika tampuk pemerintahan beliau termasuk insiden Memali dan Ops Lalang dengan menyumbat 106 pemimpin besar termasuk mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang. Lupakah anda?

“Bagaimana pula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Siapakah yang bertanggungjawab melucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri sekaligus menghantarnya ke penjara? Semua ‘wayang’ yang sedang dipersembahkan kepada rakyat ketika ini sudah lali dan basi kepada rakyat. Tunggu PRU akan datang dan lihat hasilnya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Vell Paari, umum termasuk penyokong pembangkang seharusnya sedar dengan permainan licik Tun Mahathir dan tidak sesekali membenarkan beliau untuk kembali berkuasa kerana ianya akan menghancurkan ketenteramaan serta perpaduan negara serta kestabilan politik yang telah lama terjalin.

“Ingat sekali diktator, selamanya kekal dengan pemerintahan kuku besi. Pelik sekali kerana daripada cara DAP ketika ini, seolah-olah parti itu bersedia mengampunkan setiap dosa silam Tun Mahathir.

“Pada awalnya PPBM ditubuhkan atas alasan mahu memperjuangkan agenda rakyat, tetapi dengan apa yang diutarakan oleh anak beranak, Tun Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir Mohamad semalam nampaknya hanya kemaruk kuasa,” ujarnya.

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Ideal Convention Centre Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 DISEMBER 2017