Feri Langkawi

KUALA LUMPUR – Tindakan operator feri di Langkawi yang menaikkan kadar tambang sebanyak RM3 bagi perjalanana ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis dianggap sebagai tidak bertanggungjawab.

Malah, ia turut dianggap sebagai telah melakukan sabotaj secara langsung kepada kerajaan sedia ada, kata Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Menurutnya, operator feri terbabit telah melakukan satu perkara tanpa notis dan kebenaran oleh kerajaan hingga boleh menimbulkan kemarahan kepada orang ramai.

“Tindakan yang dibuat ini walaupun ianya tidak melibatkan penduduk tetap Langkawi adalah tindakan yang tidak kena pada masanya dan Pemuda UMNO Kedah beranggapan ianya adalah satu usaha sabotaj terhadap kerajaan negeri yang sedia ada.

“Rakyat perlu sedar bahawa tindakan ini diambil tanpa mengambil kira pandangan kerajaan negeri dan Pemuda UMNO Kedah amat yakin Kerajaan Negeri yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional sama sekali tidak akan membenarkan perkara ini berlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shaiful Hazizy Zainol Abidin

Justeru, beliau berkata, Pemuda UMNO Kedah menuntut agar pihak syarikat menarik balik caj perkhidmatan RM3 yang dikenakan baru-baru ini.

Tambahnya, bagi Pemuda Kedah caj itu tidak relevan kerana rata-rata perkhidmatan feri sedia ada masih lagi kurang memuaskan dan perlu diperbaiki.

Operator feri di Langkawi hari ini mengenakan caj tambahan sebanyak RM3 bagi perjalanan sehala sama ada dari Kuala Kedah atau Kuala Perlis bagi pembelian di kaunter.

Caj berkenaan menyebabkan tiket feri dari Kuala Kedah ke Langkawi naik kepada RM26 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak.

Harga tiket di kaunter dari Kuala Perlis pula ialah RM21 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.

Berita mengenai caj tambahan RM3 itu tersebar selepas maklumat mengenainya dimuat naik pelanggan ke laman sosial, selepas dikejutkan dengan kadar baharu tambang feri berkenaan ketika membeli tiket di kaunter. – MalaysiaGazette