Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mahu memastikan syarikat-syarikat strategiknya memberi tumpuan kepada asas perniagaan dan meningkatkan pendapatan dan pembayaran dividen pada tahun ini.

Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam perutusan sempena Tahun 2018 berkata, peningkatan itu akan menghasilkan jumlah pulangan lebih tinggi kepada para pemegang sahamnya.

Langkah itu, katanya, seiring dengan pelaksanaan Pelan Strategik 2017-2022 PNB bagi menjadikan organisasi pelaburan terbesar negara ini sebuah Firma Pelaburan Distinktif Bertaraf Dunia.

“Kami berbincang dengan syarikat-syarikat teras yang mana PNB memiliki pegangan saham sekurang-kurangnya 10 peratus atau pegangan bernilai RM1 bilion untuk meningkatkan prestasi syarikat.

“PNB adalah penting bagi syarikat-syarikat korporat Malaysia untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan mereka untuk menjana pulangan lebih tinggi untuk pemegang saham.

“Pertumbuhan pendapatan syarikat tersenarai pada kadar 5.7 peratus bagi tahun 2017 adalah lebih rendah daripada jangkaan kami,” katanya.

Abdul Wahid berkata, meskipun pertumbuhan pendapatan bagi 2018 dijangka lebih tinggi pada kadar 6.9 peratus, PNB berharap dengan strategi dan pelaksanaan yang sesuai dapat  meningkatkan pertumbuhan pendapatan bagi syarikat-syarikat korporat di Malaysia.

Selain itu, PNB juga akan meningkatkan pendedahannya dalam pelaburan swasta di pasaran domestik dan luar negara pada tahun ini jika terdapat peluang yang sesuai.

Ia turut melaksanakan peruntukan aset strategik bagi meningkatkan pulangan secara mampan dan had risiko. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast