
SHAH ALAM – UMNO Selangor menzahirkan rasa terharu dengan sikap prihatin kerajaan Persekutuan mendengar keluhan rakyat agar memansuhkan dua tol Lebuhraya Persekutuan.
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Plaza Tol Batu Tiga di Shah Alam dan Plaza Tol Sungai Rasau di Klang, ia secara tidak langsung meringankan beban kira-kira 300,000 pengguna jalan raya yang juga penduduk di dua kawasan itu.
Kata beliau, mulai jam 12 tengah malam tadi berakhirlah kutipan tol di dua plaza tol berkenaan, sekali gus menjimatkan kewangan rakyat.
“Mulai tengah malam ini rakyat tidak perlu bayar tol lagi. Dengan ini juga Lebuhraya Persekutuan akan jadi Jalan Persekutuan.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar denyutan nadi rakyat dengan memansuhkan dua plaza tol, sedangkan kita minta satu tol sahaja dimansuhkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan simbolik pemansuhan tol di Plaza Tol Sungai Rasau, Klang di sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Mohd Salleh.
Menurut Noh, UMNO Selangor terutama Bahagian Shah Alam dan Klang sejak sekian lama berjuang di peringkat Persekutuan untuk memansuhkan tol di Lebuhraya Persekutuan.
Katanya, banyak usul dan cadangan dikemukakan UMNO Bahagian ini kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama Perdana Menteri agar satu daripadanya dimansuhkan.
“Tetapi Perdana Menteri kita telah memberi kejutan kepada penduduk Shah Alam dan Klang dengan mengumumkan dua tol dimansuhkan berkuatkuasa tengah malam 31 Disember iaitu tengah malam ini.
“Kita sifatkan kejayaan ini adalah hasil perjuangan rakyat. Mereka sentiasa di hati kepimpinan kerajaan BN,” katanya. – MalaysiaGazette















