Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum positifnya pada minggu pertama 2018, mendapat rangsangan daripada pemangkin positif tempatan dan juga serantau termasuk pemulihan ekonomi.

Selepas mengakhiri dagangan terakhir tahun 2017 dengan catatan kukuh, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) itu dijangka meneruskan aliran meningkatnya pada 2018.

“Buat pertama kalinya dalam tempoh empat tahun, indeks utama ditutup tinggi pada dagangan akhir tahun, meningkat kira-kira 9.0 peratus tahun-ke-tahun dan kira-kira 4.0 peratus berbanding November,” katanya kepada BERNAMA.

Nazri Khan berkata, minggu ini beliau menjangkakan indeks utama bergerak antara jajaran 1,780 dan menguji semula paras tertinggi September 2017, pada 1,800 mata.

Semasa dagangan minggu terakhir tahun lalu, prestasi pasaran disokong kenaikan harga komoditi, iaitu minyak dan tembaga, dalam keadaan dagangan kecil menjelang cuti hujung minggu Tahun Baharu.

Harga minyak, yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua setengah tahun berikutan serangan ke atas saluran paip di Libya, naik sedikit selepas kekal tidak berubah pada Rabu, manakala kenaikan harga tembaga berterusan dengan dagangan logam itu mencecah paras tertingginya dalam tempoh empat tahun.

Bagi perbandingan Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI naik 36.57 mata kepada 1,796.81, dengan pasaran dipengaruhi kebanyakannya oleh aktiviti memperelokkan akaun dan pengambilan untung menjelang cuti hujung minggu yang panjang sempena Tahun Baru.

Indeks FBM EMAS meningkat 280.82 mata kepada 12,942.57, Indeks FBMT 100 naik 279.93 mata kepada 12,614.20, Indeks FBM EMAS Syariah melonjak 292.05 mata kepada 13,602.92, FBM 70 menokok 435.10 mata kepada 16,085.54 dan FBM ACE menambah 138.05 mata kepada 6,603.55.

Mengikut sektor, Indeks kewangan naik 266.55 mata kepada 16,961.38, Indeks Perladangan meningkat 2.97 mata kepada 7,903.37, manakala Indeks Perusahaan menambah 88.17 mata kepada 3,280.70.

Disebabkan dagangan singkat minggu terakhir 2017, jumlah dagangan turun kepada 10.16 bilion saham bernilai RM8.46 bilion daripada 12.22 bilion unit bernilai RM10.94 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 5.89 bilion saham bernilai RM7.58 bilion daripada 6.45 bilion saham bernilai RM9.92 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 999.13 juta unit bernilai RM248.63 juta berbanding 1.03 bilion unit bernilai RM178.09 juta pada minggu sebelumnya.

Pasaran ACE mengecil kepada 3.24 bilion saham bernilai RM615.99 juta daripada 4.61 bilion saham bernilai RM804.24 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette