Iskandar A. Samad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad yakin bekas setiausaha Pas Selangor, Khairuddin Othman akan kekal bekerja dengan parti itu walaupun sudah tidak berjawatan.

Pernah bekerja bersama sejak 1990-an, Iskandar berkata, Khairuddin adalah individu yang berjuang untuk parti dan percaya beliau bukan mementingkan jawatan.

“Saya yakin dia akan kekal bekerja walaupun tidak ada apa2-apa jawatan di dalam Pas. Dia pernah melakukannya dan akan melakukannya lagi. Orang macam Khairuddin bukan mabuk jawatan,” katanya dalam Facebook rasmi beliau hari ini.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu mengulas mengenai langkah pengguguran Khairuddin sebagai ahli jawatankuasa perhubungan Pas Selangor selepas hanya kira-kira tiga atau empat bulan dilantik pada Sabtu lalu.

Semalam, Khairuddin mendedahkan kepada MalaysiaGazette bahawa punca kepada pengguguran jawatan itu adalah disebabkan beliau yang agak mesra kepada kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang ada sekarang.

“Saya rasa ada yang tidak senang dengan cara kita mendukung kerajaan negeri. Itu antara sebab-sebabnya,” kata Khairuddin.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu memilih untuk terus bersama parti biarpun kerjaya sebagai peguam yang menjanjikan kekayaan.

“Dia boleh jadi kaya jika menumpukan kepada kerjaya beliau sebagai seorang peguam. Dia bukan peminta sedekah. Tetapi dia memilih perjuangan Islam, pejuangan rakyat,” katanya.

Khairuddin pernah berkhidmat selaku Setiausaha Pas Selangor dibawah Iskandar dan dua lagi bekas pesuruhjayanya iaitu Datuk Dr. Hasan Ali dan Dr. Abd Rani Osman. – MalaysiaGazette