Eden Hazard

LONDON – Impian Zinedine Zidane untuk melamar bintang Chelsea, Eden Hazard pada Jendela perpindahan musim sejuk Januari yang bermula semalam musnah.

Ini kerana Zidane dimaklumkan lembaga pengarah kelab gergasi Eropah itu tidak bersedia untuk meluluskan peruntukan untuk mengikat pemain itu.

Laporan di Sepanyol menyatakan bahawa Zidane sudah lama mengintai bintang antarabangsa Belgium itu.

Minggu lalu bapa Hazard memaklumkan kepada akhbar, Le Soiank bahawa anaknya menolak tawaran terbaharu Chelsea dan menunggu masa untuk berhijrah ke Los Blancos.

Tetapi laporan terkini di Madrid mendakwa, Pengarah Real tidak berniat untuk melakukan pelaburan besar ke atas Hazard sementara Marco Asensio masih tidak diberi peluang dalam pasukan utama.

Asensio merupakan pemain pilihan penyokong di Bernabeu, dan sentiasa dijadikan pemain simpanan musim ini walaupun tidak dilanda kecederaan sepanjang musim ini.

Walaupun dikaitkan dengan Hazard, pihak berkepentingan dalam kelab itu percaya Zidane harus memberi keutamaan dalam membangunkan Asensio dan memberi pemain itu peluang beraksi dalam perlawanan besar.

Malah, peluang Hazard menyertai Real hanya akan mengurangkan peluang Asensio beraksi dalam kesebelasan utama.

Real mahu penglibatan Asensio yang lebih kerap dalam perlawanan utama selepas ini setelah Real ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

Laporan the Sun pula mendakwa Chelsea menuntut £120 juta (RM659 juta) daripada real bagi melepaskan Hazard.

Pada masa sama the Blues dikatakan sudah bersedia untuk menawarkan gaji lumayan bernilai £300,000 seminggu (RM1.6 juta) untuk memastikan Hazard terus kekal di Stamford Bridge. – MalaysiaGazette