Foto Facebook Aishah.

KUALA LUMPUR – Juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah mengakui beliau masih aktif dalam politik walaupun telah kembali menyanyi.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin  menghargai peluang yang diberikan untuk berkarya tanpa melibatkan ideologi parti politik.

“Saya tak pernah kata keluar daripada politik, saya sangat gembira apabila artis macam saya yang mungkin aktif sebagai aktivis politik diberi peluang dalam kelompok seni dan masih boleh keluar di televisyen.

“Sebenarnya itu perjuangan saya secara individu supaya kita boleh berkarya tanpa melibatkan ideologi,” katanya dalam wawancara langsung di Facebook semalam.

Aishah yang popular dengan lagu Janji Manismu, tidak kira siapa artis itu, siapa yang berbakat patut diberi peluang untuk berkarya.

“Itu perkara sangat penting hak kita nak sokong siapa atau bila kita sokong siapa dari itu kita tak dibenarkan untuk berkarya, benda-benda sebegini kalau kita tak perjuangkan nanti Malaysia juga akan rugi kerana bakat-bakat yang ada tidak diberi pendedahan yang sepatutnya,” katanya yang berusia 52 tahun.

Dalam bidang politik, Aishah pernah dicalonkan untuk bertanding kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke 13 mewakili Pas namun tewas di tangan calon Barisan Nasional, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Mohd. Isa mendapat 31,109 undi manakala Aishah pula 22,495 dan tewas dengan majoriti 8,614 undi.

Penyanyi lagu Pulanglah itu kemudiannya menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Aishah ketika ditanya adakah akan dicalonkan menjadi wakil PAN pada PRU-14 berkata tiada jawapan untuk soalan tersebut.

“Itu soalan cepu emas, saya sendiri pun tak tahu jawapan dia, jadi kita tengok dulu,” katanya.

Aishah pernah menuntut dalam jurusan sains politik di sebuah universiti di New Zealand.- MalaysiaGazette