Foto Daily Express.

MANCHESTER – Jose Mourinho mendakwa bekas pemain tengah Manchester United, Paul Scholes cemburu dengan kejayaan yang diraih Paul Pogba ketika ini.

Pengendali Portugal itu berkata, pemain antarabangsa Perancis itu sentiasa menampilkan aksi yang terbaik di atas padang walaupun prestasi seorang pemain ada pasang surutnya.

Scholes baru-baru inimengkritik pengurus Mourinho dan pemain utama United itu ketika mengulas perlawanan di televisyen.

Dia mengkritik Paul Pogba selepas pemain itu menunjukkan aksi hambar ketika United seri dengan Southampton minggu lalu.

Scholes mendakwa Pogba kerap ‘berlakon’ di sepanjang perlawanan dan gagal menepati status sebagai pemain paling mahal di kelab itu.

“Paul sentiasa cuba memberikan yang terbaik. Perkara biasa apabila Pogba bermain sangat cemerlang dan ada masanya tidak begitu baik.

“Pogba juga tidak bersalah apabla dia mendapat pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding Scholes. Ia adalah lumrah dalam bola sepak.

“Yang pasti nama Scholes akan tercatat dalam sejarah sebagai pemain hebat tetapi bukan sebagai pengulas bola sepak,” katanya pada sidang media selepas menang 2-0 ke atas Everton di tempat lawan pagi tadi.

Pogba yang menjadi kapten muncul semula dengan persembahan cemerlang sekali gus menamatkan badi tiga kali seri dan meletakkan Red Devils 12 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Kemenangan itu memberikan ‘ruang’ buat Mourinho untuk kembali membalas kritikan Scholes yang merupakan pemain dalam kelompok ‘Kelas 92’ dan muncul antara tunjang kejayaan United sebelum ini.

“Pada pendapat saya, mengkritik adalah satu-satu tabiat . Saya tidak fikir dia memberikan komen membina. Pada saya, dia lebih gemar mengkritik. Kritik dan komen adalah dua perkara berbeza.

“Bukan semua pemain sekarang perlu menjadi hebat sepertinya. Kami tidak perlu mengikutnya. – MalaysiaGazette