Home Nasional 6 sekolah Kelantan ditutup

6 sekolah Kelantan ditutup

Gambar hiasan

KOTA BHARU – Enam sekolah dengan lebih 1,000 pelajar di dua jajahan di Kelantan ditutup buat sementara hari ini berikutan banjir yang masih belum surut di kawasan terbabit.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Muhammad Zahari Othman berkata, ini termasuk tiga sekolah di jajahan Kuala Krai iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, SK Ladang Taku dan SK Pasir Kelang membabitkan 347 pelajar.

Tiga sekolah lagi di jajahan Tanah Merah turut terlibat iaitu SK Ladang Kerilla, SK Sokor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ladang Kerilla dengan 668 pelajar, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Zahari berkata, langkah tersebut dilakukan berikutan beberapa faktor termasuk jalan perhubungan ke sekolah terputus, sekolah dinaiki air, keadaan berbahaya kepada keselamatan pelajar dan guru selain bot tidak dapat beroperasi berikutan peningkatan paras air sungai. – MalaysiaGazette