LONDON – Britain sedang berunding untuk menyertai kumpulan Perjanjian Trans Pasifik (TPP) bagi merangsang eksport mereka selepas meninggalkan Kesatuan Eropah.

Menurut laporan, kerajaan Britain sedang meneroka peluang untuk menjadi ahli TPP selepas Brexit, Mac depan dan telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan kumpulan berkenaan.

Jika cadangan mengejut itu direalisasikan, Britain akan menjadi negara pertama yang tidak mempunyai sempadan di Lautan Pasifik atau Laut China Selatan.

Jabatan Liam Fox bagi perdagangan antarabangsa dipercayai seddang membangunkan cadangan berkenaan.

Masa depan TPP masih lagi dibincangkan terutama selepas Presiden Donald Trump mengeluarkan Amerika Syarikat daripada kumpulan itu tahun lepas.

Sebelas lagi negara anggota antaranya Malaysia, Jepun, Australia, Singapura dan Mexico.

Menteri Perdagangan Greg Hands memberitahu Financial Times, tiada sempadan geografi yang menghalang Britain menyertai TPP.

Seorang jurucakap jabatan perdagangan antarabangsa pula berkata, mereka telah menubuhkan 14 kumpulan kerja perdagangan di 21 buah negara untuk meneroka potensi terbaik negara tersebut di seluruh dunia.- MalaysiaGazette