Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Abd Samad menyifatkan langkah mengadakan audit forensik akan merungkai kemelut tanah milik Felda dalam projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Pengerusi Felda itu menyambut baik pengumuman pelantikan audit luar bagi menjalankan audit forensik dalam projek tersebut yang sedang dibangunkan oleh pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

“Saya telah ditugaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa Felda balik ke asal sebagai sebuah agensi kerajaan yang mantap dari segi urus tadbir dan pencapaian matlamat-matlamatnya.

“Ke arah itu, saya menyambut baik pengauditan terhadap projek KLVC seperti mana diarahkan oleh Perdana Menteri pada 11 Disember 2017,” beliau dipetik berkata dalam laman BNBBC.my.

Shahrir mengulas mengenai pengumuman terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengenai keputusan kerajaan melantik sebuah firma audit luar bagi melaksanakan audit forensik terhadap pihak terbabit dalam isu tanah Felda di Jalan Semarak.

Menurut Najib, selain Felda, FIC (Felda Investment Corporation), siasatan itu juga membabitkan Synergy Promenade, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – MalaysiaGazette