Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkan sepak takraw dari senarai sukan teras negara dianggap sebagai suatu pengkhianatan.

Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim ketika mengulas keputusan kementerian dan MSN berkata, tindakan itu sebagai suatu pengkhianatan kepada negara dan bangsa Malaysia amnya.

Beliau meminta kerajaan melalui kementerian berkenaan jangan bersikap seperti kacang lupakan kulit kerana sukan sepak takraw pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu

“Tindakan MSM membuang sepak takraw dari senarai sukan dan olahraga negara suatu perbuatan khianat kepada negara dan bangsa Malaysia.

“Sukan ini sebenarnya adalah sebahagian daripada warisan sukan negara. Hentikan sikap kacang lupakan kulit,” katanya menerusi status yang dimuatnaik dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Pada 12 Disember lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan dari senarai sukan teras negara berikutan prestasu buruk serta tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas kementeriannya dan MSN membuat semakan semula termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan tersebut sejak 2007.

Kata Khairy, prestasi yang semakin merosot, selain pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atlet sukan itu dalam ujian doping adalah punca utama angkat berat digugurkan, manakala sepak takraw dan taekwondo digugurkan kerana tidak menunjukkan peningkatan prestasi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast