SHAH ALAM – Veteran UMNO Selangor mengambil berat permintaan ibu bapa di kawasan Selayang Baru agar disediakan sekolah rendah dan menengah agama berintegrasi dua sesi bagi membolehkan anak mereka menimba ilmu agama dan akademik secara serentak.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Bahari Abdul Rahman berkata, pihaknya dengan kerjasama Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Datuk Ir. Md. Nasir Ibrahim telah turun ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Selayang Baru untuk bertemu dengan guru, ibu bapa dan murid.
Kata beliau, menerusi pertemuan itu pihaknya mengumpul beberapa maklumat yang diluahkan oleh golongan berkenaan untuk dibawa ke pengetahuan pihak atasan bagi penambahbaikan.
“Ini adalah program prihatin Veteran UMNO Selangor dan Penyelia DUN Taman Templer bersama guru, ibu bapa dan murid.
“Kita mahu pendidikan agama dan akademik dikembangkan lagi khususnya di Taman Templer ini,” katanya pada majlis penyampaian bantuan peralatan sekolah di SRA Selayang Baru, dekat sini, semalam.

Sementara itu, menurut Ir. Md. Nasir, dalam pertemuan itu, beliau bersama Ahmad Bahari dapat membuat dua rumusan yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan Persekutuan.
Antara rumusan itu, kata beliau, keperluan sekolah agama berintegrasi di kawasan Selayang Baru yang begitu padat dengan penduduknya.
“Keduanya, perlu ada pembinaan sekolah menengah agama khasnya di kawasan DUN Taman Templer.
“Saya akan bawa perkara ini kepada pihak lebih tinggi supaya ianya dapat mencapai impian penduduk menjadi kenyataan,” katanya.
MalaysiaGazette difahamkan, terdapat 10 hingga 11 SRA integrasi bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Bagaimanapun, ibu bapa dan guru kawasan itu memerlukan sekolah agama yang mempunyai dua kurikulum iaitu agama dan akademik. – MalaysiaGazette
















