Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2018.

SHAH ALAM – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui semua parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) tidak berpuas hati dengan isu pengagihan kerusi.

Bagaimanapun tambah beliau, ketetapan tersebut perlu diterima baik oleh semua pihak bagi memastikan PH mampu mendepani Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

“Hasil yang terbaik dari rundingan ialah bila semua pihak tak puas hati. Kalau ada satu pihak puas hati ia maknanya kita tak adil.

“Nak bagi semua puas hati tak mungkin jadi kena terima keadaan di mana semua pihak tak puas hati. Saya yakin parti dalam PH takda satu pun puas hati. Sudah tentu parti saya tak puas hati…. akhirnya dapat sikit.

“PKR banyak tuntutan dibuat kerana dalam PH, PKR parti tertua. Tapi mereka juga tak dapat semua.

“Juga DAP walaupun DAP mudah sikit dia tak banyak soal. Dia nak ke kawasan boleh menang tak minta banyak. Kita beri kawasan-kawasan yang mereka boleh menang walaupun saya yakin kalau boleh dapat lagi banyak dia (DAP) lagi seronok,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Ideal Convention Centre disini hari ini.

Mahathir juga memuji sifat Parti Amanah Negara (PAN) yang dianggapnya sebagai parti yang menjayakan pembahagian parti kerana ‘bermurah hati’ berbanding yang lain.

Tambahnya, walaupun PAN menuntut kerusi yang pernah ditandingi pada pilihan raya yang lalu di bawah tiket parti lama iaitu Pas namun mereka tidak menerima semua yang diminta namun tetap dengan pendirian untuk memberikan kemenangan kepada PH.

“Amanah (PAN) ini baru. Dulu dia menjelma Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) nama dia lain. Sekarang nama lain.

“Tapi dia tuntut nama lama tempat lama payah nak bagi. Tapi mereka murah hati. Akhirnya yang jayakan agihan kerusi kalangan empat parti ialah Amanah (PAN),” ujarnya.-MalaysiaGazette