Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Ramai pihak yang pelik dan hairan tatkala DAP hanya memperoleh 35 kerusi Parlimen untuk dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Namun ramai yang tidak sedar, DAP masih mempunyai peluang besar untuk menyamai kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat menguasai Pakatan Harapan (PH) di Semenanjung.

Menurut Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff, masyarakat beranggapan PPBM mula menguasai PH namun penguasaan parti pimpinan Tun Dr. Mahathir itu terhenti di Semenanjung Malaysia sahaja, dan tidak menguasai Sabah dan Sarawak sebagaimana tujuan sebenar DAP.

“Kononnya ia adalah bukti bahawa yang akan mendominasi Pakatan Harapan ialah parti Melayu Islam PPBM, bukannya parti bukan Melayu bukan Islam DAP, kerana kononnya jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh DAP hanyalah 35 berbanding jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh PPBM, iaitu 52.

“Walaupun begitu, perkara penting pertama yang perlu diingati adalah, daripada 35 kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Semenanjung di dalam PRU 14 ini, 31 daripadanya adalah kerusi yang telah sedia dimenangi oleh DAP di dalam PRU 13 lalu,” katanya.

Dr. Kamarul merujuk kepada pengumunan yang dibuat pada Konvensyen PH semalam yang memutuskan PPBM memperoleh 52 kerusi, PKR 51 buah kerusi, DAP 35 buah kerusi manakala Parti Amanah Negara (PAN) paling sedikit iaitu 27 kerusi.

Mengulas lanjut, Dr Kamarul berkata, pada 30 April 2016 lalu, penasihat DAP, Lim Kit Siang, telah mengisytiharkan bahawa strategi DAP Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016 adalah bagi menyediakan DAP negeri itu untuk memenangi Kerajaan Negeri Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021.

Justeru katanya, DAP akan bertanding di lebih banyak kerusi Parlimen di Sarawak di dalam PRU 14 itu.

“Bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Sabah dan Sarawak di dalam PRU 14 ini adalah 19, sekali gus menjadikan bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di seluruh Malaysia di dalam PRU 14 meningkat menjadi 54.

“Jadi 54 kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh DAP di seluruh Malaysia di dalam PRU 14 adalah lebih tinggi berbanding 52 kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh PPBM di seluruh Malaysia,” katanya.