Home Ekonomi Dana asing labur RM915j minggu lalu

Dana asing labur RM915j minggu lalu

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menyuntik sebanyak RM915.1 juta dalam ekuiti tempatan pada minggu lalu.

Ia merupakan aliran masuk bersih terbesar yang direkodkan sejak bulan Mac 2017.

MIDF Research berkata, pelabur-pelabur asing merupakan pembeli bersih bagi empat hari dagangan, meningkatkan ‘pesta belanja’ kepada sembilan hari dagangan dari 22 Disember 2017 hingga 5 Januari 2018.

Kali terakhir pembelian harian lebih panjang daripada tempoh ini adalah dari 20 April 2017 hingga 15 Mei 2017 iaitu selama 16 hari.

“Pembelian asing memuncak pada hari Khamis selepas pelabur asing membeli sejumlah RM316.1 juta ekuiti, satu tahap yang tidak dicapai sejak 28 April 2017.

“Pembelian ketara oleh pelabur asing, kebetulan menyaksikan penutupan bursa pada tahap 1,800 untuk kali pertama lebih dari 2.5 tahun berikutan keuntungan dalam Sime Darby Berhad yang menyaksikan lonjakan sebanyak 11.2 peratus,” kata firma penyelidikan itu.

Lonjakan harga minyak Brent juga menyumbang kepada keyakinan terhadap bursa.

Pada hari Jumaat lalu, FBMKLCI meneruskan pendakiannya untuk mengakhiri minggu dengan 1,818 mata walaupun aliran masuk berkurangan kepada RM130.1 juta berikutan sentimen risiko yang dirangsang oleh peningkatan eksport Malaysia sebanyak 14.4 peratus pada bulan November 2017.

Prestasi eksport itu merupakan tertinggi yang pernah direkodkan.

MIDF Research menambah, penyertaan pelabur asing sangat aktif selepas kembali cuti akhir tahun.

Nilai dagangan harian purata harian (ADTV) naik sebanyak 127 peratus kepada RM1.26 bilion berbanding RM556 juta yang direkodkan dalam minggu pertama 2018.

Pasaran runcit juga memberangsangkan kerana ADTV peruncit meningkat sebanyak 62 peratus berbanding RM1.2b dalam minggu sebelumnya kepada RM1.9 bilion pada minggu lepas. – MalaysiaGazette