Shaiful Hazizy, foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Pelantikan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri interim Pakatan Harapan (PH) sememangnya sudah dijangka.

Justeru, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mahu jentera parti tidak mempedulikan perkara itu tetapi beri fokus dan beri khidmat kepada rakyat.

“Sesiapa pun yang menubuhkan kerajaan seharusnya menumpukan tumpuan kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dan tidak seharusnya terpesong melaksanakan proses transisi memilih calon Perdana Menteri.

“Saya bimbang rakyat akan terabai kerana sudah tentunya sebuah kerusi Parlimen terpaksa dikosongkan untuk pilihanraya kecil memberi jalan utk proses melantik seorang Perdana Menteri “baru” yang sudah semestinya berada bukan seorang ahli parlimen kerana beliau mungkin baru dibebaskan dari penjara.
Menurut Shaiful Hazizy, pengundi sebenarnya menjadi permainan dalam “permainan politik” ciptaan PH.

“Pengundi diperbodohkan hanya semata-mata mahu pemimpin tertentu dijadikan Perdana Menteri.

“Game politik ini harus ditamatkan kerana ia menyusahkan rakyat dan menimbulkan suasana politik yang sangat tidak sihat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana menteri interim bukanlah idea politik yang berpaksikan Perlembagaan, katanya.

“Ini resipi politik Machiavelli – ‘matlamat menghalalkan cara’. Mandat rakyat sekali lagi akan dipermainkan hanya kerana mahu menyelamatkan ego seorang individu,” katanya.

Menurutnya, rakyat tidak seharusnya dijadikan tebusan politik dan terus menerus dilibatkan bagi “menghalalkan” proses menobatkan seorang Perdana Menteri.- MalaysiaGazette