KUANTAN – Seorang pemandu treler nyaris maut selepas kenderaan dipandunya terjunam dari Jambatan Ahmad Shah setinggi 13 meter di Temerloh dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Zundin Mahmood berkata kejadian pukul 11.30 pagi di Kilometer 125 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan itu bagaimanapun hanya menyebabkan Mohamad Faridz Ridzuan Mahmood cedera ringan.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa cuba untuk mengelak daripada melanggar sebuah kereta yang memberi laluan kepada sebuah ambulans.

“Ia menyebabkan treler itu terbabas sebelum terjatuh ke kawasan lapang di bawah jambatan dengan hujung kenderaan itu turut memasuki bahu jalan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Zundin menambah semasa kejadian, treler milik syarikat pengangkutan di Mentakab itu tidak membawa muatan kerana dalam perjalanan pulang selepas menghantar papan lapis ke Pelabuhan Kuantan.- BERNAMA