Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Selepas wakil Parti Amanah Negara (PAN) memboikot Konvensyen Pakatan Harapan (PH) sebagai tanda tidak puas hati dengan pembahagian kerusi, PKR Selangor pula  tidak bersetuju dengan pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PKR Selangor melahirkan rasa kecewa dengan keputusan pimpinan PH yang mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan mempersoalkan mengapa jawatan penting itu tidak diberikan kepada pemimpin dalam parti itu sendiri.

“Dengan saki-baki ruang demokrasi dan kebebasan bersuara yang ada, Keadilan Negeri Selangor dengan ini melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan pengumuman calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.

“Sedang kami menghormati keputusan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, izinkan juga kami menyatakan pendirian yang berbeza. Biarlah ia terakam dalam lipatan sejarah suatu hari nanti,” kata Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Hizwan Ahmad
dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, tindakan mencalonkan Dr Mahathir disifatkan sebagai agak janggal memandangkan PKR juga sebenarnya mempunyai pemimpin berkaliber untuk diangkat menjawat jawatan tersebut tetapi sebaliknya diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

“Justeru, Keadilan Selangor merasa amat janggal untuk mengakui bahawa setelah begitu panjang tempoh perjuangan kita juga setelah dibuktikan dengan rekod luar biasa.

“Parti ini tidak mampu untuk mengangkat seorang tokoh sendiri bagi diusung sebagai calon bakal Perdana Menteri Malaysia,” katanya lagi.

Semalam, PH mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-14 nanti. – MalaysiaGazette