Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bekerjasama dengan usahawan, Patrick Lim Soo Kit untuk melabur sebanyak AS$100 juta di zon industri bagi pengilang farmaseutikal di Sri Lanka.

State Pharmaceuticals Manufacturing Corporation of Sri Lanka (SPMC) dan Pharma Zone (Pvt) menandatangani perjanjian untuk membina zon pengeluaran farmaseutikal eksKlusif pertama di Sri Lanka yang diberi nama Pharma Zone, di kawasa Welipenna, daerah Kalutara.

Pharma Zone yang terletak di atas tanah seluas 50 ekar adalah sebuah syarikat yang diluluskan oleh Lembaga Pelaburan Sri Lanka.

Sultan Ibrahim dan Patrick merupakan prinsipal bagi syarikat berkenaan.

Menurut SPMC, Sultan Ibrahim mahukan pelaburan tersebut bukan sahaja memberi pulangan komersial, sebaliknya turut memberi manfaat kepada rakyat Sri Lanka di samping mengukuhkan hubungan perniagaan dan diplomatik di antara rakyat negara berkenaan dan Johor.

Patrick dalam kenyataannya berkata, pelaburan tersebut adalah 100 peratus milik rakyat Malaysia.

“Kami berbangga apabila berjaya memeterai perjanjian ini dengan kerajaan Sri Lanka yang sentiasa gembira dengan hubungan Malaysia.

“Ini merupakan permintaan daripada Sultan Ibrahim yang mahukan usahasama ini bukan hanya membawa kemakmuran komersial kepada Sri Lanka sebaliknya turut memberi manfaat kepada rakyat dengan mengurangkan harga serta memudahkan mereka mendapatkan ubat,” katanya.

Pharma Zone akan menyediakan tanah dan kemudahan asas yang mencukupi kepada pengeluar farmaseutikal tempatan untuk mendirikan kilang sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengeluarkan ubat-ubatan penting bernilai hampir AS$100 juta di negara berkenaan dan sekali gus menjimatkan tukaran wang asing.-MalaysiaGazette