Ketua Eksekutif EIS-PERKESO, Datuk Mohd Sahar Darusma (kanan) bercakap ketika sesi soal jawab pada Majlis Pembentangan Skim Bencana Pekerja (EIS) di Hotel Faruma Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 10 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Majikan digesa tidak melihat pelaksanaan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) sebagai satu yang membebankan kerana ia memberi manfaat banyak bagi semua, kata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutif SIP, Datuk Mohd. Sahar Darusman berkata, walaupun pelaksanaan sistem itu tidak popular namun ia bermanfaat kepada majikan dan pekerja.

Malah jumlah caruman sebanyak 0.12 peratus yang dicarum majikan masih kecil jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang turut melaksanakan sistem yang sama.

“Ia memang tak popular dalam kalangan majikan tapi sebenarnya tak banyak 0.2 peratus kerana kalau diterjemahkan sumbangan daripada majikan hanya RM1.90 bagi gaji RM1,000. Tidak banyak.

“0.2 peratus ini masih kecil jika dibandingkan dengan negara luar lain yang mengenakan minimum caruman 1 peratus,” kata beliau semasa majlis pembentangan kepada pengusaha hotel di Furama Bukit Bintang hari ini.

Mohd. Sahar berkata, majikan yang mencarum SIP juga akan diberikan pengecualian subsidi.

“Pada awalnya semasa kita mereka sistem ini, kita nak juga majikan mendapat manfaat dalam bentuk mungkin pengecualian subsidi 15 peratus untuk tempoh enam bulan.

“Jadi sekiranya majikan membuang pekerja mereka kerana mengecilkan operasi dan sebagainya mereka boleh juga mengekalkan staf dan pekerja untuk enam bulan.

“Jangan lihat SIP ini satu bebanan, ia sebenarnya baik untuk semua, bagi kerajaan, untuk pekerja khususnya dan juga majikan… bagi saya, kita melaksanakan ini untuk melakukan pembaharuan perkhidmatan pekerjaan kita,” katanya lagi.

Menurut beliau, pengenalan SIP bertujuan untuk membantu pekerja yang diberhentikan kerja mendapatkan kerja semula secepat mungkin dan dengan keadaan ekonomi negara yang baik pekerja masih berpeluang untuk ditempatkan di sektor-sektor tertentu.

“Pembaharuan yang kita nak buat di Malaysia ini adalah bagaimana membantu pekerja yang diberhentikan tadi masuk semula ke dalam pasaran kerja secepat mungkin, kalau boleh tujuh hari dan paling lambat pun empat bulan, itu objektif kita.

“Keadaan ekonomi Malaysia masih dalam keadaan sangat baik, jumlah penggangguran kita masih rendah bawah 4 peratus dalam sebulan,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai SIP, Arif Aziz pula menerangkan pelaksanaan SIP diperkenalkan dalam banyak negara maju kerana ia mampu menjadi sistem sokongan yang dapat menangani masalah jika berlakunya krisis ekonomi di sesebuah negara.

“Bukan sahaja Malaysia melaksanakannya, contohnya negara maju seperti Amerika, Jepun, Korea, Thailand malah Vietnam juga melaksanakan (SIP).

“Jadi, sekarang Malaysia ikut trend yang sama maksudnya untuk menyokong ekonomi negara kita terutamanya jika berdepan krisis ekonomi,” katanya.

Menurut Arif, tiga objektif utama SIP diperkenalkan adalah menyediakan bantuan kewangan segera (tujuh hari) selepas sah hilang pekerjaan, membantu pencarum hilang kerja mendapatkan pekerjaan baharu dan meningkatkan kebolehpekerjaan menerusi program latihan dan latihan vokasional yang disediakan oleh Perkeso. – MalaysiaGazette